Kerajaan jamin kelancaran penghantaran vaksin
Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berjaya melaksanakan latihan penghantaran vaksin ke Klinik Kesihatan Belaga, kira-kira 178 kilometer (km) dari Bintulu, Sarawak, pada 29 Jan lalu.
“Saya yakin sekiranya penghantaran ke kawasan terpencil seperti Belaga dapat dilakukan, ini bermakna tempat lain tidak mempunyai masalah yang besar,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Ziarah Sumbangan Tablet di Kampung Cina, di sini, hari ini.
Katanya, lokasi penyimpanan vaksin Pfizer-BioNTech COVID-19 telah dikenal pasti dan setiap negeri juga telah disediakan peti simpanan suhu ultra rendah untuk vaksin tersebut.
“Kita sudah ada 115 peti simpanan suhu ultra rendah dan kerajaan beli lagi 55 buah dengan peruntukan sebanyak RM2.7 juta, jadi tidak ada masalah untuk simpan bekalan vaksin yang akan tiba esok,” katanya.
Selasa lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Malaysia akan menerima penghantaran pertama vaksin tersebut esok diikuti pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan secara berfasa bermula 26 Feb ini.
Muhyiddin akan menerima suntikan vaksin itu pada hari pertama pelaksanaan program berkenaan bersama-sama petugas barisan hadapan. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.