Petronas mampu bayar dividen RM18 bilion kepada kerajaan
KUALA LUMPUR, 20 Feb – Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mampu untuk membayar dividen sebanyak RM18 bilion kepada kerajaan sebagaimana yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 dan sebarang pertambahan jumlah itu perlu dibincangkan oleh pihak Lembaga Pengarah.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tengku Muhammad Taufik Aziz berkata sebarang permintaan tambahan oleh kerajaan akan turut diteliti serta mengambil kira perspektif mudah tunai serta kemampuan Petronas berikutan kedudukannya yang tertakluk di bawah Akta Syarikat.
“Jika anda tanya saya sekarang sama ada kami mampu membayar RM18 bilion yang diumumkan dalam Belanjawan 2021, jawapannya adalah ya. Jumlah itu masih dalam kemampuan kami,” katanya dalam temu bual dengan Bernama.
Tengku Muhammad Taufik berkata sebarang bayaran dividen kepada kerajaan juga berdasarkan kemampuan selepas melaksanakan usaha wajar secara terperinci membabitkan komitmen kewangan yang ditanggung oleh pengeluar petroleum dan gas negara itu.
“Proses dividen itu bukanlah satu arahan (daripada kerajaan), tetapi mengikut permintaan bagi pertimbangan syarikat. Kami akan memenuhi permintaan itu sekiranya mempunyai kemampuan untuk berbuat demikian,” katanya.
Menjelaskan selanjutnya, beliau berkata Petronas akan meneliti permintaan tersebut selain mengambil kira aspek komitmen modal serta kewangan syarikat berkenaan.
Pada masa sama, tegas beliau, Petronas juga perlu bertindak mewujudkan penampan sekiranya berlaku sebarang keadaan atau kejutan pasaran seperti harga minyak yang lebih rendah.
“Kami akan akur (jika terdapat permintaan) apabila terbukti masih mampu untuk membayar dividen selepas berpuas hati dengan semua pertimbangan membabitkan perkara-perkara tersebut,” katanya.
Malah, Tengku Muhammad Taufik berkata, bayaran dividen sebanyak RM10 bilion kepada kerajaan pada November tahun lepas telah dilaksanakan selepas mengambil kira mengenai keperluannya bagi usaha membendung penularan pandemik COVID-19.
Bayaran RM10 bilion itu merupakan tambahan kepada bayaran dividen sebanyak RM24 bilion yang dibuat pada tahun lepas.
Selain itu, beliau juga menyifatkan pergerakan aliran harga minyak sebagai pengukur dalam menentukan kemungkinan pembayaran dividen berkaitan.
Pada masa ini, harga minyak global adalah melebihi US$60 setong.
Sebelum ini, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata bayaran dividen Petronas kepada kerajaan adalah berdasarkan prestasi syarikat itu selain perlu mengambil kira keperluan dana bagi tujuan operasi, obligasi serta perbelanjaan modal.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.