‘Malang’ berganda keluarga peniaga barangan pembinaan
GADEK 16 Feb. – Sambutan Tahun Baru Cina bagaikan tiada erti buat sebuah keluarga peniaga barangan pembinaan di Kampung Pulau Sebang, di sini, selepas kedai mereka musnah dijilat api petang, semalam.
Tan Boon Siong, 55, dan ahli keluarganya terpaksa menerima hakikat Tahun Baru Cina kali ini bukan setakat tidak dapat disambut seperti tahun lalu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), malah kehilangan kedai yang menjadi sumber pendapatan mereka.
Boon Siong berkata, dalam kejadian jam 6.30 petang itu, dia dan isteri serta anak perempuan yang membantunya sudah pulang ke kediaman mereka di sebuah taman perumahan di Pulau Sebang satu setengah jam sebelum itu.
“Saya amat terkejut apabila menerima panggilan daripada rakan yang memberitahu kedai saya sudah terbakar dan kami segera datang ke sini.
“Saya amat sedih apabila mendapati kedai yang diperbuat daripada papan dan pelbagai barangan jualan di dalamnya musnah sekelip mata,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Sementara itu, anaknya, Tan Chai Yi, 28, berkata selain peralatan pertukangan, turut musnah ialah dua motosikal yang disimpan dalam kedai berkenaan.
“Ibu bapa saya sudah berniaga di sini sejak 30 tahun lalu dan sejak kecil saya membantu mereka menguruskan perniagaan.
“Saya amat sedih apabila mendapati kedua-dua motosikal cub itu sudah hangus, selain barangan dalam kedai yang kami anggarkan bernilai lebih RM150,000,” katanya.
Dia berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 7 malam, keseluruhan kedai berkenaan sudah hangus namun stor simpanan kayu kira-kira lima meter dari kedai terselamat.
Katanya, akibat kejadian itu, anggota keluarganya terpaksa menjalankan perniagaan kayu sahaja sementara menyediakan dana untuk membina semula kedai berkenaan.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka, Penolong Penguasa Bomba, Soon We Kiang berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah menerima panggilan pada jam 6.34 petang dan menghantar satu jentera ke lokasi kejadian.
Katanya, Komander operasi, Pegawai Bomba Kanan II Shahrin Md Saad dan anggota bomba yang lain berjaya mengawal kebakaran pada jam 6.52 petang sebelum menamatkan operasi pada jam 8.29 malam.
“Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.