Sorting by

×

Pengusaha kolam ternakan keli dikompaun RM12,000 sebabkan pencemaran

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

PENGKALAN BATU 16 Feb. – Pengusaha sebuah kolam ternakan ikan keli di Sungai Baru, Masjid Tanah yang menyebabkan pencemaran di sungai utama Februari tahun lalu telah dikompaun RM12,000 semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata, kompaun itu dikenakan ke atas Kolam Keli Swee Choon Fishery Trading selepas didapati cuai melepaskan sisa darah ayam, telur busuk dan air kolam keli ke badan air.

Tindakan tersebut ujarnya, menyebabkan spesies ikan asal sungai mati selain air sungai berbau busuk sehingga ke Pekan Masjid Tanah.

“Saya telah melawat ke kolam berkenaan tahun lalu dan mendapati penternak telah menggunakan darah ayam, telur tembelang dan bangkai ayam untuk menternak ikan keli. Keadaan di situ berbau sangat busuk dan sangat tidak bertanggungjawab.

“Kemudiannya mereka telah melepaskan air yang tidak dirawat itu ke sungai dan menyebabkan ribuan ikan mati selain masalah bau busuk kepada penduduk sekitar. Perbuatan tersebut telah menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 39(a) Enakmen Sumber Air (Negeri Melaka) 2014.

“Jadi, syarikat ini telah dikenakan kompaun semalam berjumlah RM12,000 bagi kesalahan pertama dan jika melakukan kesalahan berulang, jumlah kompaun maksimum RM125,000 atau RM1,000 pada setiap hari akan dikenakan,” katanya dalam satu sidang media di JAPERUN Pengkalan Batu, hari ini.

Hadir sama Pengarah Badan Kawal Selia Air (BKSA) negeri, Faizah Abdul Rahman.

Justeru, beliau memberi peringatan kepada semua penternak dan petani di negeri ini agar sentiasa mematuhi peraturan dan tidak menyebabkan pencemaran kepada sumber air negeri.

Menurutnya, sekiranya didapati ada penternak dengan sengaja melakukan kesalahan serupa, tindakan lebih tegas akan diambil.

“Saya seorang yang lantang, tidak kira siapa sahaja melakukan kesalahan, saya akan tegur. Jadi, saya menasihati semua penternak dan petani agar terus mengikut peraturan ditetapkan.

“Sekiranya ada sebarang maklumat mengenai pencemaran yang dilakukan oleh mana-mana penternak atau petani di negeri ini, anda semua dialu-alukan untuk melaporkan kepada BKSA atau saya sendiri,” ujarnya lagi.

Media sebelum ini melaporkan penduduk di sekitar Pekan Masjid Tanah terpaksa menghidu bau busuk selama tiga hari akibat pencemaran sungai yang disebabkan oleh sebuah kolam ternakan ikan keli.

Views:

1064
Kongsi :
Previous post Positif dadah: Warden wanita Sekolah Henry Gurney ditahan polis.
Next post ‘Kalau kena ambil (vaksin), saya ambillah, tiada masalah demi rakyat’ -Norhizam
Ubah saiz-+=