Positif dadah: Warden wanita Sekolah Henry Gurney ditahan polis.

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

TELOK MAS 16 Feb. – Warden wanita Sekolah Henry Gurney (SHG) Jabatan Penjara Malaysia di sini ditahan polis selepas didapati positif dadah semalam.

Wanita yang juga ibu lapan anak berusia 40 tahun itu dicekup kira-kira pukul 7.15 malam oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, tangkapan itu dibuat hasil maklumat daripada penyelia sekolah berkenaan mengenai kesalahan dilakukan suspek.

“Suspek dibawa sendiri oleh penyelianya ke IPD Melaka Tengah sebelum  diarahkan menjalani saringan ujian air kencing kira-kira pukul 7.15 malam.

“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine (AMP) dan syabu.

“Pemeriksaan bagaimanapun tidak menjumpai apa-apa bahan terlarang (dadah) bersama suspek,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut Zulkiflee suspek yang tinggal di Serkam, Jasin telah bertugas sebagai warden di SHG Telok Mas selama 16 tahun dan siasatan lanjut mendapati dia mula terlibat dalam penyalahgunaan dadah sejak lima tahun lalu.

“Suspek yang juga ibu kepada lapan anak berusia antara 14 tahun dan tiga bulan itu kini direman selama tiga hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Katanya, sabit kesalahan suspek boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Views:

2885
Kongsi :
Previous post Smart A+ MHI bantu persediaan pelajar hadapi SPM
Next post Pengusaha kolam ternakan keli dikompaun RM12,000 sebabkan pencemaran
Ubah saiz-+=