Smart A+ MHI bantu persediaan pelajar hadapi SPM

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

MASJID TANAH 16 Feb. – Penyampaian sisipan akhbar Smart A+ Melaka Hari Ini dilihat mampu membantu calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2020 membuat persediaan akhir bagi menghadapi peperiksaan sebenar pada Isnin depan.

Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Wira Sazali Muhd Din berkata, sebanyak 500 sisipan soalan dengan tajaan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md. Ali telah diagihkan kepada tiga sekolah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu.

Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Wira Sazali Muhd Din

Jelasnya, sisipan soalan meliputi tiga mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sejarah telah diagihkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ghafar Baba, SMK Sultan Alauddin dan SMK Hang Kasturi sebelum diedarkan kepada pelajar.

“Seperti diumumkan Kementerian Pendidikan (KPM) sebelum ini, sesi pembelajaran secara bersemuka sudah tamat, jadi calon SPM kini menumpukan ulang kaji pelajaran kendiri termasuk kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Jadi dengan adanya sisipan soalan-soalan yang disediakan Kelab Ibu Bapa Guru Islam Melaka, saya percaya ia dapat membantu pelajar untuk membuat persediaan akhir di rumah.

“Semoga dengan menjawab soalan-soalan latihan ini dapat membantu pelajar untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri mengagihkan sisipan terbabit di Kompleks Japerun Lendu di sini, hari ini.

Pada masa sama, Sazali mengingatkan calon SPM agar mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi memutuskan rantaian COVID-19.

“Guru dan pelajar perlu bekerjasama dalam memutuskan rantaian pandemik ini dengan mematuhi SOP yang ditetapkan seperti yang diputuskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Views:

1261
Kongsi :
Previous post UTem rai pelajar Tiong Hua tidak pulang sambut Tahun Baru Cina
Next post Positif dadah: Warden wanita Sekolah Henry Gurney ditahan polis.
Ubah saiz-+=