UTem rai pelajar Tiong Hua tidak pulang sambut Tahun Baru Cina
DURIAN TUNGGAL 16 Feb. – Berteraskan konsep cakna pelajar dan semarak perpaduan silang budaya, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mengambil inisiatif meraikan penuntut Tiong Hua yang tidak berpeluang meraikan Tahun Baru Cina bersama keluarga, baru-baru ini.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP), UTeM, Profesor Madya Dr Nurulfajar Abd Manap berkata, keprihatinan pihak pengurusan UTeM sentiasa berterusan dalam menjaga kebajikan dan hal ehwal pelajar dalam sebarang situasi dan keadaan.
“Jadi pihak pengurusan pelajar UTeM menerusi pengurusan kediaman pelajar UTeM turut meraikan pelajar Tiong Hua yang tidak pulang ke kampung halaman.
“Kita mengadakan sambutan Tahun Baru Cina di Kolej Kediaman Satria Tuah yang turut disertai pelajar berbilang bangsa yang juga tidak pulang bercuti bersama keluarga masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pengetua Kolej Kediaman Satria Tuah, UTeM, Dr Al Amin Mohamed Sultan berkata, majlis sambutan secara sederhana itu dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.
“Walaupun sambutan secara sederhana bersama dengan felo-felo dan pelajar yang tidak pulang beraya namun ia dapat mengubat kerinduan keluarga dan memberikan makna besar kepada semua.
“Di sini kami ibarat satu keluarga tidak kira apa jua bangsa di bawah satu bumbung UTeM dan sentiasa mengambil berat dan memupuk semangat persaudaraan yang tinggi,” katanya.
Seorang penuntut, Tang Yee Kin, 21, dari Cheras Kuala Lumpur berkata, ini adalah pengalaman bermakna buat beliau kerana pertama kali menyambut perayaan Tahun Baru Cina jauh dari keluarga.
“Suasana sambutan pada tahun ini berbeza kerana kita masih berperang dengan pandemik COVID-19 dan negara berada di bawah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.
“Apapun saya mengambil peluang ini ucapkan terima kasih kepada pihak UTeM yang amat prihatin dan meraikan sama perayaan Tahun Baru Cina dalam suasana kekeluargaan yang sangat harmoni,” ujar penuntut Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Kuasa Industri).