Sorting by

×

Pengusaha hotel rebut peluang tarik pengunjung, tawar makan malam Hari Kekasih

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 14 Feb. – Meskipun berdepan cabaran getir sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 bermula 13 Januari lalu, pengusaha hotel di negeri ini ‘lega’ apabila menerima tempahan berganda untuk makan malam sempena sambutan Hari Kekasih dan Tahun Baru Cina.

Pemangku Pengurus Besar Hotel Casa Del Rio, Agnes Tay berkata, pihaknya tidak menang tangan selepas menerima tempahan penuh bagi pasangan kekasih yang mahu menyambut makan malam romantis berlatar belakangkan pemandangan Sungai Melaka.

Katanya, makan malam itu bersesuaian dengan kelonggaran syarat PKP 2.0 berkuatkuasa 10 Februari lalu yang membenarkan makan malam di restoran, terhad kepada dua pelanggan bagi satu meja.

Pakej makan malam romantis inisiatif hotel untuk elak gulung tikar.

“Sebenarnya, sejak pagi tadi kita masih menerima tempahan namun terpaksa ditolak berikutan kita menghadkan 40 meja sahaja berdasarkan arahan prosedur operasi standard (SOP) MKN (Majlis Keselamatan Negara).

“Sebelum PKP 2.0 kita boleh menerima 150 pengunjung di restoran dalam satu masa berdasarkan kapasiti, namun memandangkan SOP kali ini lebih ketat, jadi kita terpaksa hadkan bilangan pengunjung,” katanya ketika ditemui di hotel berkenaan di sini.

Mengulas lanjut Agnes berkata, pihaknya bagaimanapun menghadkan tempoh operasi restoran bermula jam 7 hingga 9 malam dengan hanya 50 pelanggan.

Sementara itu, Pegawai Turus Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Melaka, Deputi Superintendan Nik Ab Halim Nik Mat ketika dihubungi berkata, bagi memastikan pihak penghotelan mematuhi SOP baru itu, pihaknya akan membuat pemantauan di restoran serta hotel yang menyediakan perkhidmatan makan malam sempena sambutan Hari Kekasih.

Jelasnya, tiada kesalahan untuk orang ramai menyambut mahupun menikmati makan malam sempena sambutan sebarang perayaan atau upacara selagi mematuhi semua SOP termasuk hanya bergerak dalam radius 10 kilometer dari kediaman mereka.

Views:

1064
Kongsi :
Previous post Tiga kluster baharu punca kadar kebolehjangkitan tinggi di Melaka
Next post Rang undang-undang gangguan seksual dijangka siap Mac
Ubah saiz-+=