Sorting by

×

PN terima GERAKAN jaga kepentingan pelbagai agama dan bangsa

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

LENDU 14 Feb. – Penyertaan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) dalam Perikatan Nasional (PN) membuktikan PN memelihara kepentingan rakyat pelbagai agama dan bangsa.

Pengerusi Badan Perhubungan Negeri (BPN) PN Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, PN Melaka mengalu-alukan dan menerima baik keputusan pucuk pimpinan parti menerima kemasukan GERAKAN.

“Kemasukan GERAKAN menjelaskan lagi wajah sebenar PN yang mempraktikkan politik mewakili kepentingan rakyat majmuk di negara ini.

“Kita menjaga kebajikan dan kepentingan semua anggota masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa,” katanya ketika ditemui pada program Sanitasi Masjid Pemuda PN Parlimen Masjid Tanah di Masjid Kampung Solok Duku, di sini hari ini.

Mohd Rafiq membantu sukarelawan Pemuda PN memasang tangki sebelum melakukan sanitasi di Masjid Solok Duku, Masjid Tanah.

GERAKAN diterima menyertai PN selepas Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau menerima surat pengesahan yang ditandatangani Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin Khamis lalu.

Ditanya dakwaan sesetengah pihak kononnya GERAKAN sudah ‘mati’ dan tidak mampu memberikan sumbangan kepada politik, Mohd Rafiq berkata, GERAKAN memiliki sejarah perjuangan cemerlang ketika mentadbir Pulau Pinang sebelum ini.

“Tan Sri Dr Koh Tsu Koon contohnya adalah bekas Presiden GERAKAN yang berjaya memajukan Pulau Pinang dan begitu juga mendiang Tun Dr Lim Keng Yaik ketika menjadi anggota Kabinet Malaysia.

“Soal sama ada parti itu kekurangan ahli tidak menjadi masalah besar kerana yang lebih penting ialah sokongan rakyat, khususnya kepada PN yang terbukti mampu mentadbir negara dengan baik sekarang,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta ahli parti gabungan dalam PN supaya bekerja kuat dari sekarang untuk memastikan PN tetap menjadi pilihan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Katanya, beliau yakin GERAKAN mampu memberikan sumbangan kepada PN menjelang PRU-15 berdasarkan rekod perkhidmatan GERAKAN yang boleh dibanggakan sebelum ini, terutama ketika mentadbir Pulau Pinang.

Views:

976
Kongsi :
Previous post Tarikh daftar, kemas kini BPR dilanjutkan sehingga 25 Februari
Next post KPT pandang serius isu sugar baby
Ubah saiz-+=