Sorting by

×

‘Biar tiada gaji, asalkan amal jariah kami dicatatkan’

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

LENDU 14 Feb. – “Kerja ini tiada gaji tetapi kami berdoa ia dicatatkan dalam buku ‘saham akhirat’ kami yang insya-Allah akan kami saksikan di Padang Mahsyar kelak,” kata Azrin Abdul Aziz, 33, ketika ditemui melakukan sanitasi di Masjid Kampung Solok Duku, di sini.

Beliau ‘bermandi peluh’ selepas memakai peralatan perlindungan diri (PPE) ringkas dan menyembur bahan berkenaan di sekeliling masjid dalam program Sanitasi Masjid Pemuda Perikatan Nasional (PN) Parlimen Masjid Tanah di masjid berkenaan.

Azrin antara 20 anggota Pemuda PN Parlimen Masjid Tanah terbabit melakukan sanitasi di masjid itu secara percuma.

Ishak melakukan sanitasi di Masjid Kampung Solok Duku, Masjid Tanah.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan Negeri (BPN) PN Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin.

Azrin berkata, program berkenaan hari ini dilaksanakan di lima masjid dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu selepas program yang sama dibuat di DUN Ayer Limau, Ahad lalu.

“Sebanyak 15 lagi masjid, masing-masing lima di DUN Tanjung Bidara, Kuala Linggi dan Taboh Naning akan dibuat pada minggu hadapan dan berikutnya,” katanya.

Rakannya, Ishak Md Sabri, 27, berkata beliau menyertai program berkenaan bukan untuk disanjung kerana melakukan amal jariah, sebaliknya untuk berbakti kepada rumah Allah.

“Saya mahu masjid bersih daripada virus yang boleh menyebabkan penyakit, terutama pandemik COVID-19 dan saya berdoa agar kerja yang tidak seberapa ini dicatatkan sebagai saham akhirat yang bakal saya nikmati hasilnya di Padang Mahsyar kelak,” katanya.

 

Mohd Aniq menyembur asap pembunuh kuman dalam Masjid Kampung Solok Duku, Masjid Tanah.

Beliau berkata, program itu mendapat kerjasama baik pihak
pengurusan masjid berkenaan yang diketuai Pengerusinya, Abdul Nasir Hassan dan ahli jawatankuasa masjid yang sentiasa mengalu-alukan sumbangan, termasuk sanitasi atas dasar amal jariah.

Bagi Mohd Aniq Awang, 26, beliau berterima kasih kepada PN kerana memberi peluang kepadanya untuk menabur budi ketika melakukan kerja menyembur asap untuk membasmi kuman dalam masjid itu.

“Alhamdulillah, dengan sedikit bakti ini saya dapat memberikan sumbangan kepada anak kariah di masjid ini untuk menunaikan solat dalam keadaan insya-Allah terhindar daripada kotoran dan kuman,” katanya.

Views:

454
Kongsi :
Previous post Pemilik kedai pakaian diingatkan sedia sarung tangan pelanggan- KPDNHEP
Next post Manfaat dana kerajaan pasar produk dalam talian- Tengku Zafrul
Ubah saiz-+=