Pemilik kedai pakaian diingatkan sedia sarung tangan pelanggan- KPDNHEP
ALOR GAJAH 14 Feb – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka mengingatkan pemilik kedai pakaian supaya melaksanakan peraturan baru prosedur operasi standard (SOP) iaitu menyediakan sarung tangan kepada pelanggan bagi mengelak dikompaun.
Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, hasil pemantauan dibuat sejak peraturan baharu itu diumumkan 9 Februari lalu, pada permulaannya ada pemilik premis gagal mematuhinya dan antara alasan diberikan, tidak mengetahui berhubung arahan itu.
“Apabila ditanya, mereka maklumkan tidak tahu atau terlupa dengan arahan itu dan buat masa ini kita jalankan advokasi supaya mereka mengikut SOP ditetapkan.
“Jika SOP tidak dipatuhi, tindakan kompauan atau penyitaan premis akan dikenakan,” katanya selepas mengikuti tinjauan bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) Melaka di Pasar Tani Alor Gajah, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Norena berkata, setakat ini pihaknya memberi kelonggaran bagi membolehkan pemilik premis menyediakan kemudahan sarung tangan kepada pelanggan.
“Sekiranya pemantauan sekali lagi dilakukan di premis sama dan pemiliknya masih ingkar tindakan tegas akan dilakukan.
“Mereka akan dikenakan kompaun RM1,000 oleh penguat kuasa (polis) yang bertugas melakukan rondaan dan pemeriksaan,” katanya.
Pada 9 Februari lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan industri pakaian, fesyen, aksesori dan kedai kasut antara sektor peruncitan yang dibenarkan beroperasi semula bermula Rabu lalu.
Bagaimanapun, bagi kedai pakaian, pemilik premis perlu menyediakan sarung tangan pakai buang kepada pelanggan untuk memilih pakaian.