Sorting by

×

PKP: Rama-rama spesies Idea Lynceus bakal lenyap, kajian 16 tahun terpaksa dihenti

Masa Membaca:3 Minit, 24 Saat

MELAKA 13 Feb. – Tahukah anda rama-rama spesies Idea lynceus yang mempunyai kepompong unik berwarna keemasan dan cantik mampu melakukan penerbangan ulang-alik dari Melaka ke Kuala Lumpur sebanyak 44 kali dalam tempoh hayatnya 14 hari?

Bagaimanapun rama-rama bersayap hitam berbintik putih dari keluarga Danaidae yang terkenal dengan ‘penerbangan’ seperti sekeping kertas tisu terapung di udara, hanya terdapat di Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka di Ayer Keroh di sini, bakal lenyap berikutan kajian mengenainya sejak 16 tahun terpaksa dihentikan.

Pengurus taman berkenaan, Qurratu A’in Rohaminordin berkata, pihaknya tidak lagi dapat membiakkan rama-rama berkenaan akibat kekurangan dana berikutan kehilangan sumber utama iaitu penjualan tiket, sekali gus terpaksa menghentikan kajian terhadap spesies itu yang dilakukan sejak 2005.

“Pada 1 Februari lalu, pihak kami melepaskan 10 ekor rama-rama Idea lynceus dan masih berbaki 10 ekor di pusat konservasi ini yang menunggu masa untuk mati kerana kitaran hayatnya yang pendek,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Foto kredit- Twitter @Bestinmelaka

Beliau berkata di seluruh dunia, hanya Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka sahaja yang membiakkan rama-rama itu kerana ia berasal dari Malaysia, dan kadangkala boleh ditemukan di sebahagian Indonesia dan Thailand.

Katanya sejak melakukan kajian 16 tahun lepas terhadap spesies berkenaan, pihaknya sudah mencapai tahap 90 peratus pemahaman mengenai Idea lynceus termasuk jantina, pokok perumah dan lain-lain perkara mengenai rama-rama berkenaan.

“Namun kerana tiada pengunjung akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami tidak mampu menjual tiket sekali gus menyukarkan operasi di pusat konservasi ini memandangkan ia dimiliki oleh pihak swasta,” katanya.

Beliau berkata walaupun pihaknya mempunyai program adopsi di mana peminat boleh membayar harga tertentu bagi mendapatkan kepompong ulat beluncas bagi melihat proses rama-rama keluar daripada kepompong, namun ketika ini ramai yang tidak mampu menyertai program berkenaan kerana mereka juga terpaksa berjimat cermat.

“Justeru, kami berharap agar ada mana-mana pihak yang mampu menolong pusat konservasi ini agar mampu bertahan sekali gus menyelamatkan Idea lynceus daripada terus pupus ketika kita masih berdepan dengan ancaman COVID-19 yang menyukarkan kehidupan semua,” katanya.

Foto kredit- Facebook butterflyreptile

Beliau menjelaskan ketika PKP 1.0 yang dilaksanakan pada tahun lepas, pihaknya mendapat bantuan daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) yang menyalurkan bantuan makanan kepada reptilia di pusat konservasi berkenaan selain Program Subsidi Upah oleh kerajaan bagi memastikan pekerja masih boleh melaksanakan tugas mereka.

Bagaimanapun katanya ketika PKP 2.0 yang mula dilaksanakan sejak 13 Januari lalu menyebabkan pusat konservasi berkenaan hanya beroperasi pada tahap minimum dalam usaha menjimatkan kos, sehingga pihaknya terpaksa melupuskan kira-kira 3,000 ulat beluncas pelbagai spesies termasuk Idea lynceus pada tahun lalu.

Menurutnya Idea lynceus, yang diletakkan di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar 2010 kerana hampir pupus, mula dikaji di pusat konservasi itu sejak 2005 dan kejayaan pertama bermula pada November 2011 apabila pihaknya berjaya membiakkan telur rama-rama berkenaan.

“Ketika berada di habitat asalnya di dalam hutan, rama-rama betina mampu menghasilkan kira-kira 200 biji telur namun yang mampu hidup hanyalah dua peratus ataupun empat ekor sahaja, menjadikan ia antara serangga yang paling terancam.

Pusat konservasi ini boleh menghasilkan kira-kira 500 ekor Idea lynceus sebulan ketika ia mampu beroperasi pada tahap optimum dengan bantuan daripada pekerja dan penyelidik di tempat ini dan kami turut melepaskan secara berkala 20 peratus rama-rama jenis ini hasil pembiakan dalam usaha menambah jumlah Idea Lynceus di habitat asalnya.

Menjelaskan mengenai pembiakan rama-rama jenis itu, Qurratu A’in berkata peratusan untuk melihat kemandirian spesies tersebut yang mampu membesar sehingga 165 milimeter (mm) semakin tinggi apabila dibiakkan di dalam makmal sehingga boleh mencapai tahap 90 peratus.

Beliau berkata bagaimanapun bukan mudah untuk membiakkan Idea lynceus ini kerana memerlukan sejenis pokok renek dari jenis Agnosma sp, yang juga sukar untuk dibiakkan walaupun berada dalam persekitaran terkawal.

Katanya di pusat konservasi berkenaan, satu pertiga daripada 2.83 hektar kawasan itu ditanam dengan pokok renek Agnosma sp ini namun daripada 100 batang pokok yang ditanam, hanya satu batang pokok sahaja yang mampu hidup.

Views:

1430
Kongsi :
Previous post APMM Kedah/Perlis rampas dadah, ketum bernilai RM15.5 juta tahun lalu
Next post NADMA perincikan Program Pemerkasaan Komuniti COVID-19
Ubah saiz-+=