Sorting by

×

KPDNHEP beri jaminan bekalan minyak masak paket sudah kukuh

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

LENDU 12 Feb. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka hari ini memberi jaminan bekalan minyak masak paket dalam pasaran seluruh negeri sudah kukuh.

Pengarahnya, Norena Jaafar menegaskan, tiada kes kekurangan bekalan atau peningkatan harga minyak berkenaan dikesan hasil pemeriksaan rutin pegawai penguat kuasa di negeri ini.

Sehubungan itu, beliau memberi jaminan KPDNHEP akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang sengaja menaikkan harga minyak masak paket sekilogram melebihi RM2.50 yang dibenarkan.

“Minyak masak paket diberikan subsidi bagi memastikan pengguna menikmati bahan masakan itu pada harga munasabah dan jika ada peniaga menaikkan harga, kami mengambil tindakan tegas.

“Setakat ini kami tidak menerima aduan mengenai kekurangan minyak masak paket di pasaran dan jika berlaku, kami segera menghubungi pemborong dan pembungkus minyak masak untuk meminta mereka menghantar bekalan,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, peniaga yang melakukan kesalahan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Sementara itu, peniaga kedai runcit di pekan ini, Muhammad Fattah Amirullah, 21, berkata sejak KPDNHEP membuat peraturan seorang pelanggan hanya dibenarkan mendapatkan tiga minyak masak paket mulai 24 Januari lalu, bekalan semakin baik.

“Alhamdulillah, pelanggan memahami peraturan itu dan tidak mengambil lebih daripada tiga paket,” katanya.

Bekalan bahan masakan itu dikesan berkurangan dalam pasaran selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dimulakan pada 13 Januari lalu.

Ini kerana permintaan terhadap bahan masakan itu naik mendadak dua hari sebelum PKP dilaksanakan akibat pembelian panik.

Berikutan itu KPDNHEP Melaka mengarahkan syarikat pembungkus minyak masak di negeri ini meningkatkan pengeluaran bagi menstabilkan bekalan di pasaran.

Bekalan dilaporkan pulih mulai 24 Januari lalu selepas KPDNHEP membuat peraturan seorang pengguna hanya boleh mendapatkan tiga minyak masak paket.

-ends-

Pix 1 dan 2: Muhammad Fattah menunjukkan minyak masak paket di kedainya di pekan Masjid Tanah.

Pix 3: Norena Jaafar.
– Foto DIN AHMAD

Views:

962
Kongsi :
Previous post Muhyiddin penerima pertama suntikan vaksin COVID-19
Next post Kim Swee sambut TBC secara sederhana
Ubah saiz-+=