TNB rugi RM648,000, premis curi elektrik untuk melombong bitcon
REMBIA 11 Feb. – Bil semasa tenaga elektrik yang dijelaskan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) hanya RM10 sebulan tetapi tenaga elektrik yang dicuri sejak dua bulan lalu bernilai RM648,000.
Ia jenayah mencuri tenaga elektrik untuk melombong mata wang kripto bitcon terbesar di wilayah selatan membabitkan negeri ini, Negeri Sembilan dan Johor setakat ini yang berjaya dibanteras semalam.
Aktiviti haram itu beroperasi di tingkat dua premis rumah kedai di Pusat Perniagaan Pekan Pulau Sebang, di sini, sejak dua bulan lalu yang menyebabkan TNB mengalami kerugian.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Sharul Lalli Masduki berkata, kegiatan itu berjaya ditumpaskan selepas sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah menyerbu premis berkenaan pada jam 3.30 petang semalam.
“Serbuan dilakukan selepas pegawai TNB mengesan ada penyambungan tidak sempurna pada pencawang padat di premis berkenaan.
“Bagaimanapun, ketika serbuan dilakukan tiada sesiapa di dalam premis itu dan polis terpaksa memecahkan kunci pintu premis berkenaan,” katanya pada sidang media di IPD Alor Gajah di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua JSJ negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman dan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu serta Jurutera TNB, Mohd Satari Mohamad.
Berikutan itu polis menahan seorang lelaki berusia 35 tahun yang datang ke premis berkenaan pada jam 4 petang semalam dan ditahan reman dua hari mulai hari ini bagi membantu siasatan, katanya.
Sharul berkata, pemeriksaan menjumpai 700 unit mesin melombong mata wang berkenaan dan pemotongan kabel di pencawang padat dilakukan pegawai TNB.
“Rampasan mesin dan nilai kerugian TNB itu adalah yang terbesar di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor setakat ini,” katanya.
Beliau menjelaskan, kegiatan itu membabitkan penggunaan arus elektrik setinggi 3,000 ampere tetapi pihak yang mengendalikan kegiatan hanya membayar bil semasa tenaga elektrik RM10 sebulan selepas membuat penyambungan haram.
Katanya, pihak berkenaan sengaja menjadikan premis di kawasan perniagaan yang baharu dibuka, agak jauh dari pusat komersial yang lain dan terpencil untuk mengelakkan kegiatan mereka dikesan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990,” katanya.