‘Pak guard’ rugi RM16,700 ditipu pelaburan tidak wujud
AYER KEROH 11 Feb. – Terbeliak melihat nilai pelaburannya meningkat 10 kali ganda dalam tempoh sebulan rupanya tidak seindah impian seorang pengawal keselamatan yang akhirnya rugi RM16,700 akibat ditipu pelaburan tidak wujud.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri Superintendan E. Sudra Rajan berkata, mangsa lelaki berusia 56 tahun dari Batu Berendam itu terpengaruh dengan pelaburan berkenaan melalui penerangan dalam kumpulan Whatsapp Oktober tahun lalu.
“Selepas diberi penerangan, mangsa yang berminat telah membuat pembayaran pertama berjumlah RM2,580 melalui pemindahan bank ke nombor akaun Maybank yang diberikan.
“Kira-kira sebulan selepas itu, pada 5 November tahun lalu, mangsa diberikan pautan laman web pelaburan www.neurobank.trade/odo.aspx berserta ID dan kata laluan dan terkejut apabila melihat keuntungan pertamanya meningkat menjadi RM25,000,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, sebaik sahaja melihat angka keuntungan yang diterima melalui web pelaburan berkenaan, lelaki itu telah menambah pelaburan berjumlah RM14,000 yang dipindahkan ke nombor akaun bank yang sama.
Sundra Rajan berkata, mangsa hanya mengesyaki ditipu apabila hasratnya untuk mengeluarkan wang pelaburan dari mata wang Euro kepada Ringgit Malaysia pada 23 Januari lalu gagal.
“Sebelum itu, mangsa dikehendaki membayar sejumlah RM120 ke akaun bank yang sama untuk mengeluarkan wang itu, namun pengeluaran ‘pelaburannya’ itu gagal dan cubaannya untuk menghubungi pihak yang menguruskan web berkenaan juga tidak berjaya.
“Mangsa berasa telah tertipu dan telah membuat laporan polis di Balai Polis Malim semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan di atas kesalahan menipu,” katanya.
Sementara itu dalam perkembangan sama, Sundra Rajan berkata, sebanyak 146 kes pelaburan tidak wujud telah dilaporkan di negeri melibatkan kerugian berjumlah lebih RM6 juta sepanjang tahun lalu.
Justeru, orang ramai diingatkan agar sentiasa membuat semakan nombor telefon atau nombor akaun yang meragukan di laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule atau muat turun aplikasi Check Scammers CCID.