COVID-19: Kes positif di Melaka menurun
AYER KEROH 10 Feb. – Kes positif COVID-19 di Melaka akhirnya menunjukkan penurunan pada hari ini apabila merekodkan 92 kes sekali gus menamatkan rentetan tiga digit kes positif sejak enam hari lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, penurunan itu bertitik tolak daripada penurunan mendadak kes positif membabitkan kluster terbesar negeri ini iaitu Kluster Industri Serkam.
Jelasnya, selepas merekodkan keseluruhan lebih 1,300 kes sejak beberapa hari lalu, kluster berkenaan pada hari ini hanya mencatatkan 30 kes positif.
“Kita boleh jangkakan penurunan daripada kluster ini memandangkan kini kita sudah selesai menjalankan ujian saringan membabitkan keseluruhan kontak rapat.
“Masih ada lagi keputusan ujian saringan belum diterima, tetapi jumlahnya tidaklah begitu besar, hanya beberapa sahaja yang identitinya belum dikenal pasti,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Begitupun, Rahmad memaklumkan Kluster Tembok Sungai Udang menjadi penyumbang terbesar kes harian COVID-19 di Melaka pada hari ini dengan 46 kes baharu.
Menurutnya, peningkatan itu sekali gus meningkatkan kes kumulatif keseluruhan kluster berkenaan kepada 261 kes.
“Selain itu, Kluster Dialisis Masjid Tanah yang baharu diumumkan semalam turut merekodkan satu kes hari ini, manakala baki selebihnya membabitkan saringan kontak rapat dan lain-lain saringan.
“Sehingga kini sebanyak 1,781 kes masih dirawat dengan 10 daripadanya berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tujuh memerlukan bantuan pernafasan,” ujarnya.