Suami terpaksa ‘usung’ isteri ke tempat kerja
AYER KEROH 9 Feb. – Penyakit buah pinggang kronik dihidapi seorang wanita sejak tiga tahun lalu menyebabkan dia kini tidak mampu berjalan dan terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak.
Menurut Rosita Alus, 52, dahulunya dia seorang ibu yang aktif, namun kini hanya mengharapkan suami, Alhadi Md Yunos,51, dalam segala hal termasuk menguruskan diri dan rumah tangga.
Malah dakwanya, ada ketika dia terpaksa mengikut suaminya yang berkhidmat di Jabatan Pengairan dan Saliran negeri ke tempat kerja kerana tiada sesiapa yang boleh menjaganya di rumah.
“Saya tiada pilihan dan terpaksa ikut suami kerana bimbang berlaku apa-apa jika duduk seorang diri di rumah.
“Mujur dia bekerja di lapangan, bila hujan lebat atau banjir baru dia keluar untuk periksa empangan. Pernah juga saya terpaksa tunggu lebih sejam dalam kereta hingga dia selesai kerja,” katanya selepas dikunjungi pegawai dari Bahagian Khidmat Musa’adah Jabatan Ketua Menteri Melaka di rumahnya di Taman Ayer Keroh Heights di sini, semalam.
Menurut Rosita selain mengikut suami ke tempat kerja, ada ketika dia turut menumpang di rumah ibunya yang berusia lebih 80 tahun dan uzur.
“Saya mengetahui penyakit ini selepas mengalami simptom seperti kerap penat berjalan dan kencing berbuih.
“Selepas doktor periksa baru tahu ada masalah kegagalan buah pinggang kerana bacaan darah tinggi dan tidak normal,” katanya lagi.
Rosita bersyukur kerana mempunyai suami yang sanggup berkorban masa, tenaga dan wang untuk menjaganya selama ini.
“Mujur suami bekerja kerajaan dan ada GL (surat jaminan) dari majikan, bolehlah menanggung kos rawatan dialisis saya yang melebihi RM3,000 sebulan.
“Saya setiap hari kena tambah darah…sekali tambah RM80 bayangkan, jika sebulan dah mencecah ribuan ringgit,” katanya yang mempunyai dua anak yang sudah berkahwin dan seorang masih bersekolah.
Rosita berkata, jika mengharapkan gaji suaminya memang tidak mencukupi dengan komitmen yang perlu dilaksanakan.
“Kos perubatan tambahan kadang-kadang cecah RM500 sebulan dan bayaran rumah RM400 sebulan yang ditolak dari gaji suami.
“Saya pula dah tak boleh memasak dalam keadaan sekarang, jadi setiap hari terpaksa beli makanan di luar.
“Kadang-kala anak ada menghantar makanan pada saya,” katanya yang bersyukur menerima bantuan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Pusat Zakat Melaka.