Makan besar Tahun Baharu Cina dibenarkan, maksimum 15 ahli keluarga
PUTRAJAYA, 7 Feb. – Makan besar keluarga pada malam Tahun Baharu Cina (11 Februari) dibenarkan dengan tidak melebihi 15 orang ahli keluarga terdekat, yang tinggal dalam zon lingkungan 10 kilometer radius tanpa rentas daerah dan negeri, kata Kementerian Perpaduan Negara (KPN).
Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini, yang dipengerusikan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang bersetuju meluluskan prosedur operasi standard (SOP) sambutan Tahun Baharu Cina yang telah ditambah baik.
Mesyuarat turut bersetuju aktiviti keagamaan di rumah ibadat dibenarkan pada 11, 12 dan 19 Feb dan tertakluk kepada SOP ketat antaranya, bilangan kehadiran penganut di rumah ibadat tidak melebihi 30 orang pada satu-satu masa, dengan pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal, tempoh waktu sembahyang adalah selama 30 minit dan diselangi dengan kerja-kerja sanitasi selama 30 minit sebelum waktu sembahyang yang berikutnya.
Selain itu, jadual waktu sembahyang adalah bermula daripada pukul 6 pagi hingga 2 petang sahaja, dan aktiviti sembahyang pada 19 Februari dibenarkan di halaman rumah masing-masing pada waktu malam, mengikut tradisi perayaan Tahun Baharu Cina bagi ‘Hokkien Clan’.
Halimah berkata, pegawai-pegawai perpaduan yang telah dilantik sebagai pegawai pemantau di bawah Seksyen 3 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), akan melakukan pemantauan pematuhan SOP yang ditetapkan.
Beliau juga menyeru masyarakat kaum Cina di Malaysia untuk menyambut perayaan tahun ini dalam norma baharu, sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan, menjaga kebersihan diri dan pastikan penjarakan fizikal, dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19 di Malaysia.