Sedih tetapi akur dengan SOP Tahun Baru Cina
PANTAI KUNDOR 6 Feb. – Walaupun agak sedih kerana tidak dapat menerima kepulangan anak dan kunjungan saudara mara berikutan
larangan rentas negeri, masyarakat Tionghua akur dengan prosedur operasi standard (SOP) Tahun Baru Cina.
Menjelang perayaan itu Jumaat ini, anggota komuniti terbabit sedia mematuhi SOP berkenaan bagi memutuskan rantaian pandemik COVID-19.
Yeow Geok Eng, 73, berkata dia terpaksa menerima hakikat anak perempuannya yang bekerja di Ipoh, Perak tidak dapat pulang ke kediamannya di Kampung Lereh, Tanjung Kling di sini pada perayaan berkenaan.
“Cuma dua anak lelaki saya yang masing-masing tinggal di Paya Rumput dan Batang Tiga, dekat sini, akan mengunjungi saya pada
Tahun Baru Cina kali ini tetapi anak perempuan saya tidak dapat balik.
“Memanglah saya sedih tetapi apa boleh buat, memang sudah itu SOP yang harus dipatuhi semasa PKP sekarang,” katanya ketika
menerima limau sumbangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan di kediamannya di kampung itu hari ini.
Sebanyak 180 kotak limau diagihkan kepada komuniti Cina di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor.
Bagi Ong Soon Hiap, 59, dia juga terpaksa menerima hakikat dua anak lelakinya di Kuala Lumpur tidak dapat pulang ke kediamannya di Kampung Gelam berikutan larangan rentas negeri.
“Tahun Baru Cina kali ini saya hanya dapat meraikannya dengan isteri dan dua anak yang tinggal berhampiran kampung ini tetapi kami gembira kerana sekurang-kurangnya masih ada anak yang menemani kami semasa adat makan bersama anggota keluarga pada petang sehari sebelum perayaan itu,” katanya.
Lim Chua, 61, berkata dia juga agak sedih kerana anak lelakinya di Johor Bahru tidak dapat pulang ke kediamannya di
Kampung Pantai Rombang pada perayaan itu.
“Yang penting ialah kita mesti patuh SOP untuk mengelak daripada dijangkiti pandemik COVID-19,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan SOP untuk sambutan Tahun Baru Cina
termasuk upacara sembahyang dan ‘makan besar’ hanya dibenarkan di rumah bersama ahli keluarga.