Warga APM Melaka diminta kekalkan disiplin tinggi
AYER KEROH 5 Feb. – Menjaga disiplin dan sahsiah diri serta aspek kebersihan antara perkara perlu diberi perhatian oleh setiap pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) di negeri ini.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Melaka yang baharu, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, sama ada pegawai tetap mahupun anggota sukarela, aspek disiplin diri perlu terus diperkasakan dalam menjalankan tugas dipertanggungjawabkan.
“Setiap kakitangan kena jaga disiplin seperti menepati masa, bertugas dengan jujur dan sentiasa patuh peraturan supaya dapat memberi khidmat dengan profesional.
“Aspek kekemasan diri juga perlu diberi perhatian yang mana setiap anggota mesti sentiasa berpakaian kemas misalnya tidak memakai selipar ketika hadir ke pejabat. Ini semua kita kena jaga demi imej APM,” katanya dalam ucapan ringkas ketika lawatan ke Pejabat Daerah Pertahanan Awam (PDPA) Alor Gajah pada Rabu.
Cuthbert yang memulakan tugas secara rasmi di negeri ini pada Isnin lalu turut menyentuh soal kebersihan dan kekemasan tempat kerja, keselamatan tempat kerja, kerjasama dalam satu organisasi dan pergaulan anggota.
Mengenai keselamatan di tempat kerja dan ketika bertugas katanya, setiap anggota perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak insiden tidak diingini.
“Ini termasuk penyimpanan peralatan kerja di stor yang teratur dan sistematik.
“Begitu juga ketika mengambil kes di lapangan dalam tempoh pandemik COVID-19 ini, pakailah pakaian perlindung diri (PPE) yang lengkap, topi keledar, sarung tangan dan pelitup muka bagi mengelak jangkitan,” katanya.
Cuthbert,46, menggantikan Kolonel Effendy Ali yang dinaikkan pangkat dan bertukar sebagai Pengarah APM Wilayah Persekutuan.
Sebelum bertukar ke Melaka, Cuthbert pernah berkhidmat sebagai Pengarah APM Pulau Pinang sejak September 2019.
Berpengalaman selama 11 tahun bersama APM, beliau juga pernah berkhidmat di ibu pejabat APM di Kajang, Selangor selain di negeri kelahirannya di Sabah.