PKP 2.0 dilanjutkan, peniaga lebih kreatif jana pendapatan
AYER KEROH 4 Feb – Rata-rata peniaga di negeri ini sudah menjangkakan keputusan kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 berdasarkan keadaan semasa COVID-19, namun bersyukur perniagaan masih dibenarkan beroperasi berbanding PKP 1.0 pada Mac tahun lalu.
Malah tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di sekitar kawasan ini mendapati kebanyakan peniaga mereka berusaha menggandakan hasil jualan menerusi platform penghantaran makanan sedia ada berikutan pelanggan masih dilarang makan di gerai atau restoran.
Bagi Nadia Fazilah Sumadi, 24, PKP 2.0 bukan alasan untuk bermalas-malas, sebaliknya peniaga perlu menggandakan usaha dan mencari alternatif lain bagi menarik pembeli, contohnya menghantar makanan ke pintu rumah menerusi platform penghantaran makanan sedia ada.
Katanya, sebagai peniaga dia tidak boleh berfikiran negatif apabila PKP 2.0 dilanjutkan sebaliknya bersyukur kerana perniagaan dibenarkan beroperasi seperti biasa.
“Kita sebagai peniaga ini tidak boleh fikir negatif sebaliknya positif dalam menjalankan perniagaan.
“Boleh sahaja kita lakukan alternatif lain seperti sekarang sudah ada COD (kaedah pembayaran tunai ketika serahan), jadi tiada masalah bagi peniaga, malah kini segala-galanya di hujung jari,” katanya ketika ditemui di gerai jualan kuihnya di sini.
Nada sama disuarakan pemilik Restoren Selera Padang, Hamzi Abdul Latif, 29, yang menganggap PKP 2.0 kali ini harus dimanfaatkan sebaik mungkin oleh peniaga supaya lebih kreatif memandangkan pelbagai paltform sudah tersedia bagi membantu peniaga meningkatkan hasil jualan.
“Buat masa sekarang kita kena lebih kreatif dan teruskan macam biasa, malah saya terpaksa cari alternatif lain dan Alhamdulillah jualan bertambah baik.
“Kerajaan dah tetapkan keputusan itu bukan suka-suka dan ada jalan penyelesaian yang terbaik untuk rakyat. Jadi kita sebagai rakyat kita kena akur dengan keputusan itu demi memastikan keselamatan semua pihak,” katanya.
Sementara itu, Mohd Syafiq Hamdan, 28, yang mengusahakan Nasi Ayam Geprek bersama isteri, berpendapat dalam waktu sukar untuk mendapatkan pelanggan yang ramai ketika ini, peniaga seharusnya bijak menguruskan kuantiti barangan perniagaan bagi mengelakkan pembaziran.
Katanya, dia turut melakukan khidmat penghantaran makanan ke depan rumah bagi mendapatkan pendapatan sampingan daripada hasil jualannya.
“Saya memang ada buat penghantaran dari rumah ke rumah dan berusaha untuk melakukan apa saja yang termampu untuk menambah pendapatan keluarga.
“Namun, dalam keadaan isteri saya mengandung, saya terpaksa kurangkan penghantaran, sebaliknya hanya menumpukan kawasan sekitar gerai sahaja berbanding dahulu, semua kawasan saya hantar,” katanya.