Adab menghormati majlis

Masa Membaca:3 Minit, 24 Saat

 

Oleh : Mohd Zaini Othman

 

JIKA di dalam sesebuah keluarga, majlis yang paling besar dan paling utama pastinya adalah majlis perkahwinan sehinggakan pasangan mempelai digelar dengan ‘Raja Sehari’ pada hari tersebut.

Dalam budaya masyarakat Melayu, persiapan hendak menyambut kenduri Raja Sehari ini bukan boleh dibuat ala-kadar, dari perincian perhiasan, di mana duduknya hingga ke hidangan semuanya perlu diambil berat.

Bagi universiti, ‘kenduri’ paling besar dan penting yang saban tahun diadakan adalah Majlis Konvokesyen yang bertujuan untuk meraikan graduan masing-masing menerima segulung ijazah yang sungguh bermakna.

Akibat penularan Covid-19 bermula awal tahun lalu di dalam negara, boleh dikatakan semua universiti terpaksa menangguhkan majlis konvokesyen masing-masing termasuk universiti di mana penulis berkhidmat.

Berdasarkan pengalaman sebagai seorang pegawai yang bertanggungjawab dalam urusan istiadat, protokol dan pengurusan majlis rasmi di universiti, elemen yang paling penting untuk difahami oleh semua yang terlibat dalam sesuatu majlis ialah adab menghormati majlis.

Tidak kiralah majlis yang dianjurkan itu berskala kecil mahupun besar, tetamu kenamaan yang hadir daripada bertaraf Diraja, menteri hinggalah ke ketua kampung sahaja misalnya, adab menghormati majlis jangan sesekali diabaikan.

Atas sebab itu pengetahuan mengenai protokol itu tidak hanya perlu difahami oleh pihak
penganjur sesuatu majlis sahaja semata-mata, tetapi tetamu juga perlu menghayati makna
protokol majlis agar majlis itu berlangsung dari awal hingga tamat dalam suasana yang lancar dan tertib, bukannya seperti peribahasa ‘Rumah sudah siap tetapi pahat masih berbunyi’.

Perkataan ‘protokol’ berasal daripada Bahasa Yunani iaitu, protokollen yang menggabungkan dua kata dasar, protos yang bermaksud yang pertama dan kola yang bermaksud pelekat.

Kamus Dewan dan Bahasa mendefinisikan protokol sebagai surat-surat rasmi bukan keputusan perundingan (persetujuan dll), dan keduanya protokol didefinisikan sebagai peraturan-peraturan dalam istiadat rasmi (menyambut tetamu-tetamu Negara dll).

Mokhtar, 1993 pula menakrifkan protokol sebagai perkataan yang membawa maksud peraturan yang telah diterima oleh semua pihak sama ada dalam amalan hubungan antarabangsa,hubungan harian dalam masyarakat atau dalam pelbagai istiadat atau majlis rasmi dan tidak rasmi.

Manakala Abdullah, 2002 menafsirkan ia sebagai peraturan dalam majlis rasmi termasuk
hal yang menyentuh siapa yang harus didahulukan dan siapa yang harus dikemudiankan serta siapa duduk di meja mana dan dengan siapa.

Pada hemat penulis, kefahaman yang mudah apabila disebut protokol majlis adalah ia
merupakan panduan yang menentukan bagaimana sesuatu majlis perlu dilakukan mengikut tertibnya.

Dengan kata lain, protokol itu merujuk kepada tatacara yang perlu dilakukan dalam
satu-satu majlis bagi tujuan memastikan semua perkara dilakukan dengan betul, sistematik dan teratur.

Protokol juga memastikan segala sesuatu elemen yang terlibat di dalam majlis tersebut diletakkan di tempat yang betul, secara sopan dan mempunyai tatasusila yang baik.

Peraturan dan tatacara ini penting bagi tujuan memastikan sesuatu majlis itu berjalan dengan lancar dan dapat menggembirakan hati semua pihak, terutamanya tetamu yang diundang.

Majlis Konvokesyen adalah contoh terdekat sebuah majlis yang punyai istiadat dan protokolnya tersendiri mengikut tradisi universiti masing-masing.

Apabila tersiar di media massa beberapa tindakan dan kelakuan graduan yang boleh dianggap tidak beradab dan menghormati majlis sehingga mencetuskan polemik dan kontroversi selepas itu, ia amat mendukacitakan.

Justeru itu, penulis amat terkesan dengan titah ucapan DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud selaku Tuanku Canselor USIM ketika menyempurnakan Istiadat Pembukaan Majlis Konvokesyen USIM kali ke￾-17 lalu.

Di dalam titah Tuanku yang bersulam pelbagai bentuk nasihat, baginda turut menyentuh mengenai adab menghormati majlis.

Titah Tuanku “majlis konvokesyen merupakan satu majlis yang disambut dengan penuh tatatertib dan protokol yang sesuai dengan taraf universiti sebagai institusi ilmu tertinggi.

“Ia juga diadakan untuk memberi pengiktirafan kepada kejayaan kamu sebagai mahasiswa setelah sekian lama bertungkus-lumus mengharungi cabaran sebagai pelajar.

“Oleh itu, Istiadat Konvokesyen seumpama ini seharusnya dihormati kerana ketinggian
ilmu perlu hadir bersama ketinggian budi pekerti dan akhlak yang mulia. Bak kata orang
cerdik pandai, semiskin-miskin manusia ialah mereka yang kurang adab dan budi pekerti,” titah baginda.

Tidak dapat dinafikan ada yang melihat protokol ini sesuatu yang menyusahkan, leceh dan tidak penting tetapi tanpa disedari sejak dari kecil kita sudah dididik dan dibiasakan dengan amalan protokol yang dibahasakan orang tua sebagai adab.

 

Penulis adalah Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik USIM serta ExcoPersatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS) USIM.

Views:

2254
Kongsi :
Previous post Wan Zulkiflee individu pertama bukan Amerika dilantik Lembaga Pengarah ExxonMobil
Next post Jamali Shadat meninggal dunia
Ubah saiz-+=