Syukur dapat tatap wajah Zubaidi Amir kali terakhir

Masa Membaca:59 Saat

BUKIT PALAH 1 Feb. – Keluarga angkat Allahyarham Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek melahirkan kesyukuran apabila diberi peluang menatap wajah jenazahnya buat kali terakhir sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar, Simpang Bekoh, Jasin.

“Alhamdulillah, dapat lihat dan tatap wajahnya buat kali terakhir. Wajahnya tenang seperti sedang tidur.

“Saya tahu Adik sedang menunggu uminya datang. Umi dah datang ni jumpa adik,” kata ibu angkat arwah, Norlida Abu Hassan ketika ditemu bual Melaka Hari Ini di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka, sebentar tadi.

Norlida, 50, berkata, dia dan keluarga akan terus menuju ke Madrasah Asy-Syakirin di Simpang Bekoh, Jasin kerana difahamkan jenazah akan dimandi, dikafankan serta Solat Jenazah di sana.

Terdahulu, van jenazah berlepas dari Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka kira-kira jam 10 pagi menuju ke Jasin.

Melaka Hari Ini sebelum ini melaporkan mayat kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun ditemui maut di tepi tong air disyaki didera dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Krubong Jaya, Jumaat lalu.

Hasil siasatan mendapati terdapat beberapa kecederaan fizikal pada badan mangsa dan ekoran itu ibu kandung serta bapa tirinya telah direman selama tujuh hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

-HABIS-

Views:

541
Kongsi :
Previous post Raut wajah ‘Adik’ tenang macam tidur
Next post Nelayan lega bumbung balai bocor dibaiki
Ubah saiz-+=