‘Bantal busuk’ penawar rindu Amir

Masa Membaca:55 Saat

BUKIT BARU 31 Jan – ‘Bantal ini sahaja peninggalan Adik buat peneman tidur Umi sejak pemergiannya,” luah Norlida Abu Hassan, 50, yang dilihat memeluk erat barang peribadi milik Allahyarham Zubaidi Amir Qusyairi Abdul Malek sejak pagi tadi.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka mendapati keluarga angkat kanak-kanak yang maut dipercayai didera itu sudah berada di jabatan itu seawal jam 9 pagi bagi mengetahui perkembangan lanjut proses bedah siasat mangsa.

Membahasakan dirinya ‘Umi’, Norlida yang memakai jubah dan bertudung biru kelihatan tenang menanti perkembangan lanjut proses itu dan dilihat memeluk erat serta sesekali mencium bantal kecil yang dibeli sejak arwah berusia dua bulan.

“Ketika menunaikan haji pada 2019, Umi bawa bantal ini ke Mekah buat melepaskan rindu, malah selepas kami berpisah Oktober lalu, Umi simpan bantal ini buat peneman tidur Umi.

“Sekarang dia dah tak ada, Umi akan bercakap dengan bantal busuk ini seolah-olah dia ada dekat dengan Umi,” katanya sebak.

Sementara itu, Norlida turut merayu proses agar pengebumian kanak-kanak itu dapat diuruskan oleh keluarganya atas dasar keakraban hubungan dan kasih sayang keluarga yang membela Zubaidi Amir sejak bayi.

Views:

937
Kongsi :
Previous post Polis bina khemah atas bukit, mudahkan pelajar akses internet
Next post Ketua Menteri sampai sumbangan
Ubah saiz-+=