Suasana pilu di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

BUKIT BARU 31 Jan. – Suasana pilu menyelubungi Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka hari ini apabila keluarga angkat Allahyarham Zubaidi Amir Qusyairi Abdul Malek tidak dapat menahan sebak dan menangis teresak-esak ketika menunggu proses bedah siasat jenazah Amir.

Keadaan itu turut meruntun perasaan petugas media yang membuat liputan di pekarangan jabatan itu serta VIP yang hadir.

Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Kamaruddin Sidek bersama Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Mohd Ridhwan Mohd Ali dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Datuk Shadan Othman hadir menziarahi keluarga angkat, Zubaidi Amir Qusyairi Abdul Malek di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka. Foto: MR. Azli

Kira-kira jam 10.30 pagi kelihatan Setiausaha Politik Ketua Menteri, Datuk Wira Sazali Muhd Din bersama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shaadan Othman hadir bagi memberikan kata-kata semangat kepada keluarga angkat Allahyarham Amir.

Turut hadir, wakil Pemuda UMNO Kota Melaka, Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Kamaruddin Sidek dan Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM), Mohd Ridhwan Mohd Ali.

Ketika ini difahamkan proses bedah siasat masih berjalan dan menurut ibu angkat mangsa, Norlida Abu Hassan, 50, pihaknya dimaklumkan ia dijangka selesai sebelum Maghrib.

NORLIDA mencium bantal milik angkatnya, Zubaidi Amir Qusyairi Abdul Malek, di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka. Foto: MR. Azli

Sementara itu, difahamkan proses pengebumian dijangka dibuat esok namun belum dipastikan sama ada jasad arwah akan disemadikan Simpang Bekoh, Jasin atau di Rawang, Selangor.

Difahamkan juga, keluarga sebelah ibu mangsa turut datang menziarah jenazahnya sekitar jam 8 pagi tadi.

Views:

1157
Kongsi :
Previous post Ibu kandung pernah jalani rawatan psikiatri
Next post Polis rampas pelbagai jenis dadah bernilai RM3.67 juta
Ubah saiz-+=