Rahimah ‘rindu’ pelancong
PENGKALAN BATU: 29 Jan – “Dulu setiap hari ada saja van atau bas bawa pelancong singgah di kampung ini hingga ada kala tidak menang tangan melayan tetamu,” kata pemilik rumah tradisional, Rahimah Tompang dari Kampung Pengkalan Batu, di sini.
Difahamkan, sejak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 susulan pandemik COVID-19, termasuk menutup pintu sempadan negara, kesannya dirasai pemain industri sektor pelancongan termasuk pemilik rumah tradisional di kampung terbabit.
Menurut Rahimah rumahnya diwarisi turun-temurun dari keluarga sejak lebih 100 tahun lalu dan kini umpama ‘retak menanti belah’ apabila ada bahagian tertentu kediaman berasaskan kayu itu sudah mula dimakan anai-anai.
Katanya, keadaan lebih membimbangkan apabila sumber pendapatannya terjejas sejak setahun lalu apabila tiada lagi pelancong mengunjungi kampung itu.
“Dulu rumah mak cik selalu jadi tumpuan pelancong tidak kira dari Eropah, China, Hong Kong, Jepun mahupun Singapura. Malah semua bil dan keceriaan rumah sebelum ini mak cik bayar sendiri tanpa bantuan anak-anak.
“Setiap kali pelancong asing mengunjungi rumah ini sebelum PKP 1.0 dulu, mak cik hanya kenakan bayaran RM10 bagi setiap rombongan walaupun mereka datang menaiki dua tiga buah bas sekali dan itu pun sudah cukup berbaloi.
“Tetapi sekarang, kehidupan tidak berapa mewah malah kerosakan yang ada termasuk kayu rumah dimakan anai-anai juga tidak mampu dibaiki,” katanya ditemui di kediamannya hari ini.
Mengulas lanjut, katanya dia pernah mengutarakan masalah dihadapi kepada Pejabat Ketua Menteri dan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) sejak lima tahun lalu untuk kos baik pulih kediaman, namun sehingga kini tidak ada bantuan diberikan.
Rahimah berkata, permohonan bantuan turut dikemukakan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee baru-baru ini dan masih menunggu jawapan dari pejabat beliau.
“Hendak mengekalkan keindahan rumah tradisional ini bukan mudah, ia memerlukan perbelanjaan yang banyak.
“Bercakap soal kos membaiki dan menceriakan rumah sepanjang tempoh 10 tahun lalu, mak cik sudah menghabiskan lebih RM200,000 untuk memastikan ciri-ciri tradisional rumah terpelihara,” katanya yang pernah diiktiraf sebagai ‘Malay Culture Preservation Enthusiast Hero Melaka’ oleh kerajaan China beberapa tahun lalu.
Rahimah antara beberapa penduduk di kampung berkenaan yang gigih memulihara keunikan rumah tradisional Melaka hingga menjadikan ia antara lokasi tumpuan pelancong.
Berlainan pula dengan Rabiah Luwi, 68, yang menjadikan kediamannya sebagai tempat berkongsi pengalaman mengenai keunikan rumah tradisional dan bukan sebagai punca pendapatan.
Menurut anak sulung Rabiah, Nooasiah Seman, 49, rumah tradisional yang dibina lebih 50 tahun lalu itu hanya sebagai persinggahan pelancong yang mahu melihat keindahan rumah warisan itu tanpa mengenakan sebarang bayaran.
“Keluarga kami tidak menjadikan pelancongan sebagai pendapatan utama kerana kebanyakan yang datang hanya mahu mengambil gambar sahaja.
“Sebaliknya, kebanyakan yang datang mengunjungi rumah ini adalah syarikat produksi drama yang mahu menjadikan rumah sebahagian daripada lokasi penggambaran, jadi kami mengenakan bayaran lebih kurang RM200 sehari,” katanya.