PKP 2.0: Melaka benarkan maksimum 500 jemaah di masjid bermula esok

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 27 Jan. – Kerajaan Negeri Melaka membuat keputusan membenarkan maksimum 500 jemaah di masjid-masjid negeri mulai esok, meskipun negeri ini masih dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, perkara itu diputuskan bagi menambah baik pengimarahan masjid-masjid di negeri ini.

Beliau bagaimanapun menjelaskan 500 jemaah itu hanya melibatkan masjid negeri, manakala bagi masjid kariah dan institusi, kapasiti yang dibenarkan ialah 250 jemaah, sementara 75 jemaah pula untuk surau.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali

“Jumlah jemaah untuk aktiviti yang dibenarkan adalah berdasarkan kapasiti bangunan masjid dan surau yang jemaah biasa bersolat padanya, dengan penjarakan fizikal satu meter. Solat di luar bangunan masjid dan surau adalah dilarang.

“Manakala aktiviti masjid yang dibenarkan ialah Solat Jumaat, solat fardhu lima waktu berjemaah serta kuliah Maghrib dan bacaan Yassin selepas Maghrib pada setiap Khamis malam Jumaat.

“Jawatankuasa masjid dan surau hendaklah memastikan jemaah mematuhi tatacara operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) seperti pendaftaran jemaah, pemakaian pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut mengenai kuliah Maghrib serta bacaan Yaasin dan Tahlil pada hari Khamis malam Jumaat, beliau memaklumkan ia hendaklah dilaksanakan dalam tempoh yang sesuai tanpa melibatkan penceramah dari luar Melaka.

“Program selain kuliah Maghrib, bagaimanapun hendaklah ditangguhkan buat masa ini,” katanya.

Selain itu, beliau memaklumkan masjid dan surau di negeri ini juga dikehendaki mengadakan Solat Hajat dan membaca qunut nazilah selepas Solat Jumaat selama tiga minggu bermula 29 Januari ini bagi mendoakan keselamatan Negeri Melaka dan Malaysia terhindar daripada wabak penyakit.

Views:

594
Kongsi :
Previous post Peniaga lemang rugi hampir RM100,000 diperdaya pelaburan syarikat perkapalan
Next post Majlis akad nikah dibenarkan di Melaka, namun bersyarat
Ubah saiz-+=