Peniaga lemang rugi hampir RM100,000 diperdaya pelaburan syarikat perkapalan
AYER KEROH 27 Jan. – Seorang peniaga lemang rugi RM96,930 apabila diperdaya dalam pelaburan syarikat perkapalan swasta, awal bulan ini.
Mangsa seorang wanita berusia 47 tahun berasal dari Bukit Katil, dikatakan menerima panggilan daripada individu tidak dikenali yang mengajaknya menyertai pelaburan berkenaan dan dijanjikan keuntungan dalam tempoh dua minggu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) negeri, Superintendan E Sundra Rajan berkata, mangsa bagaimanapun membuat laporan polis semalam, selepas mengesyaki ditipu apabila terus didesak memasukkan lagi sejumlah wang, selain wang keuntungan yang dijanjikan tidak diterima.
“Difahamkan, suspek menghubungi mangsa melalui talian 011-23696711 dan 011-26486178. Walaupun individu itu tidak dikenali, namun mangsa tertarik dengan tawaran pelaburan itu.
“Mangsa telah memasukkan wang tunai RM96,930 ke dalam tiga akaun bank berbeza bermula 5 Januari hingga 25 Januari lalu sebagai modal bayaran dan lain-lain caj seperti ‘stamping’.
“Bagaimanapun selepas memasukkan wang, suspek masih lagi meminta wang daripada mangsa, namun wanita itu tidak mengikut arahan berkenaan.
“Ini kerana sehingga kini mangsa masih belum menerima keuntungan yang dijanjikan sebelum dia membuat laporan polis kerana mengesyaki telah ditipu,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut Sundra Rajan berkata, hasil semakan pihak polis mendapati nombor telefon yang digunakan itu terlibat dengan empat lagi laporan polis yang lain dengan menggunakan modus operandi yang sama.
Jelasnya, kerugian kumulatif yang dialami melibatkan kesemua lima mangsa mencecah RM871,360.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu,” katanya lagi.