Daerah Masjid Tanah perlukan masa untuk direalisasikan

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

MASJID TANAH 27 Jan. – Penubuhan daerah baharu Masjid Tanah dijangka mengambil masa lama untuk direalisasikan berikutan ia membabitkan banyak proses libat urus bersama pihak berkepentingan di peringkat negeri dan persekutuan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Daerah, Luar Bandar, Pengurusan Banjir dan Teknologi Hijau negeri Datuk Seri Utama Ir Idris Haron berkata, ia akan melibatkan sebuah jawatankuasa di peringkat persekutuan yang akan dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

“Selepas itu, ia memerlukan pula kelulusan bagi penambahan atau pengukuhan jawatan dalam perkhidmatan awam dan sebagainya.

“Jadi, prosesnya masih banyak dan ia akan memakan masa sebelum kita dapat mengumumkan Masjid Tanah sebagai daerah baharu,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

PENGERUSI Jawatankuasa Pembangunan Daerah, Luar Bandar, Pengurusan Banjir dan Teknologi Hijau negeri Datuk Seri Utama Idris Haron

Hal itu sekali gus menepis dakwaan kononnya daerah baharu itu akan diumumkan dalam masa terdekat seperti yang diperkatakan segelintir pihak.

Idris bagaimanapun mengakui kerja-kerja ke arah merealisasikan hasrat tersebut sedang giat dijalankan ketika ini.

Jelasnya, perkara itu boleh dilihat melalui kewujudan bangunan serta agensi kerajaan yang baharu di Pekan Masjid Tanah yang akan dilancarkan dalam masa terdekat.

“Dalam masa terdekat kita akan dapat melihat pejabat kerajaan yang baharu seperti pejabat daerah dan tanah, pejabat pihak berkuasa tempatan (PBT) dan lain-lain di kawasan Masjid Tanah. Ini antara usaha awal kerajaan negeri bagi menambah baik perkhidmatan di peringkat daerah.

“Jadi, ini bukan sahaja akan memudahkan urusan penduduk setempat yang tidak perlu lagi ke Bandar Alor Gajah semata-mata untuk membuat urusan berkaitan kerajaan, tetapi saya juga melihat ini adalah satu tanda-tanda awal ke arah penubuhan Daerah Masjid Tanah yang sedang kita rangka ketika ini,” katanya lagi.

Terdahulu, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali dalam ucapan Amanat Tahun Baharu 2021 mengumumkan Masjid Tanah bakal diangkat sebagai daerah baharu di Melaka.

Jelasnya, kewujudan daerah baharu itu dilihat sebagai pemangkin dalam memajukan ekonomi Melaka, selain meningkatkan keberkesanan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.

Views:

1435
Kongsi :
Previous post Peniaga runsing harga sayur-sayuran meningkat
Next post Wanita sakit ‘tiga serangkai’ selamatkan ibu uzur dalam kebakaran
Ubah saiz-+=