Peniaga runsing harga sayur-sayuran meningkat

Masa Membaca:2 Minit, 11 Saat

MASJID TANAH 25 Jan. – Peningkatan mendadak harga beberapa jenis sayur-sayuran termasuk tomato, terung dan sawi di pasaran ketika ini menyebabkan ada peniaga di kawasan ini ‘tawar hati’ untuk berniaga.

Ironinya mereka terpaksa membayar harga yang tinggi untuk mendapat bekalan daripada pemborong tetapi perlu menjual pada harga rendah kepada pengguna dan mendapat keuntungan kecil.

Peniaga Pasar Awam Masjid Tanah, Merhati Samsuddin, 55, berkata, kenaikan 30 peratus harga sayur-sayuran tempatan berbanding import di pasaran dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 ini, nyata merunsingkan mereka.

MERHATI…harga sayur-sayuran meningkat

“Saya hanya ambil untung sedikit daripada jualan sayur-sayuran ini, demi mengelak pelanggan ‘lari’. Malah, ketika ini jualan timun Jepun dan tomato misalnya terpaksa saya hentikan sementara kerana susah hendak tetapkan harga yang munasabah bagi pelanggan.

“Pemborong tawar RM15 bagi sekilogram tomato dan timun Jepun, jadi berapa harga kami hendak tetapkan untuk pelanggan? Jika jual murah, kami yang rugi dan sebaliknya tiada pengguna mahu beli, jika harga mahal.

“Sayur lain seperti kacang bendi dan terung yang dahulunya sekitar RM8 sekilogram kini meningkat kepada RM12, manakala sawi Jepun dan kailan harganya RM15 berbanding dulu sekitar RM6 sekilogram,” katanya ditemui Melaka Hari Ini di Pasar Masjid Tanah.

Katanya, disebabkan sukar untuk membuat pusingan modal, dia membuat keputusan untuk tidak menjual sayuran terbabit buat masa ini.

ABDUL Wahab menyusun barangan runcit yang dijualnya di Pasar Awam Masjid Tanah.

Peniaga runcit, Abdul Wahab Ibrahim, 56, turut mengakui berdepan masalah sama apabila ada pelanggan merungut tentang harga bawang merah yang dijualnya.

Katanya, biarpun sebelum ini harga bawang pernah mencecah RM8 sekilogram dan turun kepada RM4 sekilogram, ia tetap memberi kesan kepada perbelanjaan pengguna.

“Kebanyakan barangan runcit tidak terjejas, cuma harga bawang merah saja yang naik mendadak. Beberapa bulan sebelum ini, harganya tidak sampai RM2 sekilogram.

“Kenaikan ini mungkin disebabkan banjir dan keadaan cuaca yang tidak menentu dan saya jangka mungkin berlarutan sehingga ke Tahun Baharu Cina nanti,” katanya.

Selain di Masjid Tanah, tinjauan harga turut dibuat di Pasar Awam Kuala Sungai Baru Melaka dan Pasar Alor Gajah.

Peniaga makanan, Hanis Azira Abdul Rahman, 29, berkata, jualannya sedikit terkesan disebabkan peningkatan harga bahan mentah seperti sayur dan telur di pasaran.

“Sebelum ini harga telur gred A sekitar RM9 dan meningkat sehingga RM10.30 sepapan.

“Harga telur ini biasanya tidak menentu, naik untuk tempoh agak lama dan menurun sekejap.

“Ini dilema buat peniaga yang menggunaka telur dalam masakan seperti saya,” katanya.

Minggu lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri menegaskan bekalan bahan makanan di Melaka mencukupi sepanjang tempoh PKP 2.0.

Views:

1092
Kongsi :
Previous post KPM tambah slot TV Pendidikan menerusi program DidikTV@NTV7
Next post Daerah Masjid Tanah perlukan masa untuk direalisasikan
Ubah saiz-+=