99.7 peratus premis perniagaan di Malaysia patuh SOP PKP
PUTRAJAYA 26 Jan. – Sebanyak 99.7 peratus daripada 51,012 premis perniagaan yang diperiksa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di seluruh negara didapati mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengarah Penguat kuasa KPDNHEP Azman Adam berkata, daripada jumlah premis diperiksa, 115 premis diberikan nasihat untuk menambah baik pematuhan SOP manakala 32 premis diberi amaran untuk mengambil tindakan segera menambah baik pematuhan SOP PKP.
Hanya 15 premis didapati gagal mematuhi SOP PKP dan dikenakan kompaun masing-masing sebanyak RM1,000, katanya.
“Premis yang menerima amaran boleh dikenakan kompauan RM1,000 jika didapati tiada sebarang penambahbaikan dibuat selepas amaran diberikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengingatkan semua pihak agar memastikan pematuhan SOP PKP dilaksanakan sepenuhnya untuk membolehkan perniagaan mereka beroperasi sepanjang PKP ini.
“Sekiranya pematuhan ini masih gagal mencapai tahap yang memuaskan, KPDNHEP boleh bertindak tegas dan drastik untuk menutup terus operasi premis perniagaan dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.
Sementara itu, Azman berkata KPDNHEP telah mengeluarkan kelulusan untuk beroperasi semasa PKP kepada 46,921 perniagaan berdasarkan kepada senarai kategori perniagaan yang dibenarkan untuk beroperasi di bawah SOP am PKP di seluruh negara.
Antara kategori perniagaan yang dibenarkan termasuk kompleks beli-belah; pasar raya atau pasar raya besar; restoran, kedai cermin mata dan barang optik serta kedai elektrik dan elektronik.
“Semua pihak terutamanya pemain industri dan pengguna perlu bersama-sama berganding bahu memastikan sektor perdagangan domestik bukan menjadi penyumbang kepada jangkitan COVID-19 serta mengambil peluang sepenuhnya pembukaan aktiviti ekonomi dengan mematuhi kesemua SOP PKP,” katanya.
Sektor perdagangan domestik sangat komited untuk memastikan perniagaan berjalan dalam keadaan selamat dan terkawal ke arah pemulihan ekonomi negara yang mana sumbangan sektor ini sangat besar terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar negara,” katanya.