‘Air sekejap ada, sekejap tiada’

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

RIM 26 Jan. – Masalah kekurangan bekalan air yang menghantui penduduk Kampung Seri Kesang, Jasin, bukan perkara baharu, malah berlarutan sejak lebih 15 tahun lalu.

Penduduk mendakwa masalah gangguan bekalan air berlaku atas pelbagai sebab termasuk sistem paip agihan tidak sistematik, kekurangan pam dan  tangki air yang uzur.

Seorang penduduk kampung, Mohammad Najib Ab Kadir, 41, berkata kerajaan negeri sudah mengumumkan tiada lagi catuan air di negeri ini tahun lalu, justeru masalah itu sepatutnya tidak berlaku.

Dia yang tinggal di Jalan Seri Kesidang 7 berkata, kawasan kediamannya agak tinggi berbanding rumah lain menyebabkan air yang dipam dari Kolam Bukit Komeng ke tangki air di Rumah Pam Penggalak tidak sampai ke rumahnya berikutan tangki utama berkenaan menggunakan sistem agihan secara graviti.

Projek pemasangan paip baharu yang disalurkan dari Kampung Kelubi tergendala.

“Saya tinggal di kampung ini hampir tujuh tahun, bayangkan dalam tempoh itu bekalan air sentiasa terganggu.

“Air sekejap ada, sekejap tidak ada, malah dalam bulan ini sahaja sudah lima kali bekalan terputus hingga sukar untuk melakukan kerja rumah, lebih-lebih lagi ketika PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) 2.0.

“Air sebenarnya ada tetapi tidak sampai ke kediaman disebabkan tekanan rendah dari paip utama ditambah dengan penggunaan air semakin meningkat kalangan penduduk kampung,” katanya dihubungi hari ini.

Menurut Mohamamad Najib, walaupun lima tangki baharu disediakan di kampung itu ia masih tidak cukup untuk menampung keperluan air penduduk.

“Saya harap pihak berkaitan terutama Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) membaik pulih sistem tangki air secepat mungkin dan menambah pam bagi meningkatkan tekanan air bagi disalurkan ke rumah penduduk,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Sabarudin Said, 59, ketika ditemui turut senada dengan Mohammad Najib.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Sabarudin Said.

Katanya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) RIM, Datuk Wira Ghazale Muhamad dengan bantuan SAMB sudah mengambil inisiatif  memasang paip baharu yang dipintaskan dari Kampung Kelubi ke kampung mereka bagi mendapatkan sumber air dari Tasik Biru Chin Chin.

“Hari ini masuk hari ketiga kediaman penduduk kampung tidak ada air, jadi saya berharap SAMB dapat menghantar bekalan air kepada penduduk menggunakan lori tangki.

“Projek pintasan paip itu sudah dijalankan tetapi tergendala berikutan PKP 2.0. Namun saya harap proses pembinaannya dipercepatkan,” katanya.

Views:

1687
Kongsi :
Previous post Terengganu catat kadar kebolehjangkitan (Rt) harian tertinggi di Malaysia-Dr Noor Hisham
Next post Pasangan jarak jauh boleh rentas negeri mulai esok- Ismail Sabri
Ubah saiz-+=