KKM sasar program vaksinasi COVID-19 selesai akhir tahun ini

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

KUALA LUMPUR, 26 Jan – Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan program vaksinasi COVID-19 di negara ini dapat diselesaikan pada akhir tahun ini atau awal tahun depan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, program vaksinasi itu akan membabitkan tiga fasa dengan fasa pertama dijangka bermula Mac ini melibatkan setengah juta vaksin untuk petugas barisan hadapan.

“Kita harap kita akan terima vaksin yang pertama pada akhir bulan depan. Tempoh vaksinasi (fasa pertama) ini kita jangkakan pada Mac hingga Mei dengan dos yang pertama diberi dan lepas itu akan diadakan masa 21 hari sebelum kita berikan dos yang kedua.

“Fasa kedua ialah untuk golongan rentan iaitu mereka yang berumur 60 tahun ke atas dan mempunyai penyakit berjangkit dan tidak berjangkit. Kita akan khususkan vaksinasi kepada kumpulan ini.

“Fasa ketiga kita akan berikan kepada semua rakyat Malaysia iaitu sebanyak 17 juta, terutamanya mereka yang bekerja. Jadi, kita harap dapat selesaikan vaksinasi pada akhir tahun ini atau awal tahun depan. Inilah perancangan kita untuk kita tamatkan ataupun putuskan jangkitan COVID-19 dalam negara kita,” katanya.

KETUA Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata demikian pada sesi taklimat media darurat COVID-19 KKM yang diadakan secara maya, di sini semalam.

Dr Noor Hisham berkata, setakat ini Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) KKM hanya memberi kelulusan bersyarat kepada vaksin COVID-19 keluaran syarikat Pfizer.

Beliau berkata, kelulusan bersyarat itu diberikan selepas melihat kepada ujian klinikal fasa ketiga termasuk kesan sampingan vaksin berkenaan.

Katanya setiap vaksin mempunyai kesan sampingan seperti kemerahan, demam dan sebagainya susulan respons tubuh kepada vaksin tersebut.

Mengulas mengenai keberkesanan vaksin itu, Dr Noor Hisham berkata, Malaysia mempunyai kelebihan dari segi masa antara tiga dan empat bulan untuk melihat keberkesanan vaksin tersebut di negara-negara yang telah menjalankan program vaksinasi lebih awal.

“Inilah mungkin kelebihan kita apabila kita tak laksanakan dulu tetapi kita ada empat bulan melihat kepada pelaksanaan di negara-negara lain, contohnya Amerika Syarikat dan United Kingdom. Kita lihat kesan sampingan adalah rendah. Ramai rakan-rakan saya di sana telah menerima vaksin tersebut.

“Setakat ini kita lihat Alhamdulillah, dengan vaksin Pfizer masih boleh, tak ada kesan sampingan yang berkaitan. (Kalau) ada kemungkinan orang meninggal atau kesan sampingan yang lain pun mungkin tak berkaitan dengan vaksin. Inilah kita kena lihat, sama ada (kematian) disebabkan oleh vaksin ataupun ‘coincidence’ dengan penyakit-penyakit yang lain,” katanya.

Beliau berkata pihaknya akan terus menjalankan pemantauan dan penilaian keberkesanan vaksin tersebut dalam tempoh terdekat dan jangka panjang.

Views:

362
Kongsi :
Previous post MUFC cadang semua stesen televisyen diberi hak penyiaran Liga Malaysia 2021
Next post Arahan baharu dron pada Februari ini- CAAM
Ubah saiz-+=