COVID-19: Jangan kongsi, tularkan maklumat tidak sahih – Abdul Majid

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 25 Jan – “Tindakan orang ramai yang menularkan maklumat tidak pasti berkaitan penularan COVID-19 khususnya di negeri ini bukan sahaja menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat, malah mengeruhkan lagi keadaan,” kata Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali.

Beliau mengulas berhubung gambar tular yang memaparkan seorang warga emas berusia 69 tahun yang memakai gelang merah jambu sedang mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Masjid Tanah, di sini pagi semalam.

“Orang ramai perlu merujuk kepada pihak berkuasa sama ada pihak polis ataupun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terlebih dahulu bagi kesahihan maklumat berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan sidang media mengenai rampasan dadah bernilai RM2.08 juta di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, hari ini.

Menurut Abdul Majid, semua rakyat bimbang dengan penularan pandemik yang semakin hari merekodkan peningkatan kes.

“Walaupun rakyat cuma menunjukkan bahawa mereka peka dengan wabak itu, tetapi tidak sepatutnya sesuatu perkara ditularkan ke media sosial tanpa merujuk kepada pihak polis atau KKM.

“Bahkan ia mengganggu tugas pihak berkuasa dalam usaha memutuskan rantaian pandemik Covid-19 ini,” katanya.

Semalam, gambar lelaki warga emas berkenaan menjadi tular di Facebook dan aplikasi WhatsApp yang mendakwa dia sengaja keluar rumah untuk mengisi minyak sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat setempat.

Polis bagaimanapun menjelaskan, lelaki berkenaan bersama isteri dan anak perempuannya dalam perjalanan ke Hospital Alor Gajah untuk memotong gelang terbabit dan terpaksa singgah di stesen minyak akibat kereta dinaiki kehabisan minyak.

“Kita kerja ikut peraturan, kes tular gelang merah jambu ni kita dapati individu itu sudah habis tempoh kuarantin dan dalam perjalanan ke hospital untuk potong gelang pun.

“Warga emas yang ditularkan itu telah disahkan negatif dan orang ramai serta masyarakat tidak perlulah panik kerana tindakan itu hanya akan mengeruhkan lagi keadaan,” kata Abdul Majid.

Views:

882
Kongsi :
Previous post Bersukan di taman rekreasi: Penjawat awam antara 17 dikompaun
Next post SK Datuk Haji Baginda sediakan bahan bacaan percuma atas talian
Ubah saiz-+=