Bersukan di taman rekreasi: Penjawat awam antara 17 dikompaun

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 25 Jan – Seramai 17 individu termasuk penjawat awam dikenakan kompaun RM1,000 seorang selepas didapati beriadah di Hutan Rekreasi Sungai Udang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dekat sini, petang semalam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, pemeriksaan awal dilakukan sepasukan anggota pematuhan prosedur operasi standard (SOP) mendapati seramai 36 individu melakukan aktiviti riadah di hutan rekreasi berkenaan.

“Akibatnya, seramai 17 daripada mereka berusia antara 13 hingga 41 tahun dikenakan kompaun RM1,000 seorang.

“Seramai 19 lagi individu bagaimanapun sempat melarikan diri meskipun memahami arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang menetapkan taman rekreasi ditutup sepanjang PKP 2.0 bagi aktiviti riadah,”katanya pada sidang media Dewan Parameswara Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, hari ini.

Menurutnya, semua 17 individu itu dikompaun mengikut Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).

“Ia satu episod yang tidak sepatutnya berlaku dalam usaha kita sama-sama mengekang COVID-19

“Sebagai penguatkuasa, saya dan pegawai berpegang kepada pelembagaan dan undang-undang bagi menjalankan amanah untuk mengurangkan keluk pandemik itu di negeri ini,” katanya.

Pada 14 Januari lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi sidang media hariannya menegaskan aktiviti riadah di taman-taman awam di negeri yang dikenakan PKP tidak dibenarkan sebaliknya aktiviti riadah terhad kepada dua orang dari setiap rumah dijalankan di kawasan kejiranan sahaja.

Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata, berikutan arahan itu bukan perkara baharu bagi rakyat di negeri ini, pihak polis tidak lagi berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar perintah terbabit.

Views:

1247
Kongsi :
Previous post Polis tahan enam ahli sindiket pengedaran dadah, rampas syabu RM2.08 juta.
Next post COVID-19: Jangan kongsi, tularkan maklumat tidak sahih – Abdul Majid
Ubah saiz-+=