COVID-19: Dua Kluster baharu, satu kematian di Melaka
AYER KEROH 23 Jan. – Melaka merekodkan angka tertinggi pesakit positif COVID-19, hari ini, iaitu pertambahan 278 kes, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kumulatif kes di negeri ini melonjak kepada 2,836 kes.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, pertambahan mendadak itu antara lain berikutan dua lagi kluster baharu dikenal pasti di negeri ini iaitu Kluster Tapak Bina Bali Residence dan Kluster Tembok Sungai Udang.
Beliau berkata, Kluster Tapak Bina Bali Residence menjadi penyumbang terbesar kes positif hari ini yang mana ia membabitkan pekerja asing di sebuah tapak pembinaan di Kota Syahbandar yang merekodkan 203 kes baharu hari ini.
Jelasnya, kluster itu dikesan selepas majikan diwajibkan menjalankan saringan COVID-19 membabitkan pekerja asing.
“Setakat ini enam daripada pekerja asing itu dimasukkan ke Hospital Melaka, manakala 198 lagi sedang menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.
“Buat masa ini seramai 403 kontak rapat kes terbabit di Daerah Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah sudah menjalani saringan, 181 disahkan negatif dan 18 masih menunggu keputusan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, satu lagi kluster iaitu Kluster Tembok Sungai Udang pula membabitkan tahanan dan petugas di Kompleks Penjara Sungai Udang yang mana kes indeks merupakan seorang warganegara tempatan berusia 39 tahun yang dikesan bergejala demam pada 8 Januari dan disahkan positif pada 15 Januari.
Setakat ini, ujarnya, seramai 53 kontak rapat telah menjalani saringan dan 25 kes telah dikesan positif COVID-19.
Selain itu, mengikut data yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, terdapat satu kes kematian direkodkan hari ini menjadikan tujuh kematian keseluruhan di negeri ini.
Sehingga kini, 1,158 kes masih dirawat yang mana enam daripadanya di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan enam lagi memerlukan bantuan pernafasan.
-HABIS-