Cukuplah sekadar memohon keampunan Allah.
LENDU 22 Jan. – Nama seorang peniaga mi goreng di pekan Lendu, Abdul Aziz Mohd Saat, 74, tiba-tiba menjadi sebutan dan tumpuan ramai.
Peliknya, ia bukan berkisar tentang keenakan masakan mi goreng disediakannya, sebaliknya warga emas itu mendakwa menjadi mangsa fitnah kononnya melanggar arahan kuarantin kendiri dengan berniaga di kedainya.
“Saya minta mereka yang menyebarkan fitnah kononnya saya menggoreng mi dengan memakai gelang pink supaya bertaubat kerana saya tidak pernah berbuat demikian.
“Saya memasak setakat jam 10.30 pagi sebelum menutup kedai pada jam 11 pagi apabila diminta hadir ke Hospital Alor Gajah oleh pegawai Pejabat Kesihatan Daerah Alor Gajah,” katanya dihubungi di kediamannya di Kampung Lendu Hilir, dekat sini, hari ini.
Abdul Aziz berkata, dia dan isteri, Taksiah Che De, 66, serta anak, Norizam, 46, hadir di hospital itu jam 2.30 petang dan diarah menjalani kuarantin kendiri selama seminggu bermula semalam hingga 28 Januari ini dengan memakai gelang pink masing-masing.
“Namun, sekitar jam 4 petang semalam saya terkejut apabila mengetahui tersebar di media sosial terutama Facebook, kononnya saya menggoreng mi di kedai dengan memakai gelang pink.
“Dosa memfitnah ini adalah seolah-olah kita memakan daging saudara kita sendiri,” katanya lagi.
Abdul Aziz yang juga pesara Rejimen Renjer Diraja (RRD) berkata, beberapa keluarga jirannya turut menjalani kuarantin berikutan dua saudaranya yang tinggal di kampung itu disahkan positif COVID-19 dan kini dirawat di Hospital Melaka.
Menurut Abdul Aziz lagi dia bimbang fitnah itu turut memberi kesan negatif terhadap perniagannya kelak dan merayu pihak terbabit menghentikannya.
Ditanya sama ada beliau ingin mereka meminta maaf, warga emas itu berkata, “cukuplah sekadar mereka memohon keampunan Allah”.