Waspada penipuan melalui akaun WhatsApp
AYER KEROH: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dengan taktik penipuan yang bertujuan mengambil alih akaun WhatsApp pengguna.
Taktik berkenaan menggunakan pelbagai helah bagi memperdaya pengguna supaya menyerahkan kod pengesahan 6-digit yang diterima daripada pihak WhatsApp.
Menurut MCMC, secara amnya kod pengesahan itu diterima pengguna untuk tujuan pengesahan apabila berlaku cubaan pertukaran nombor telefon yang dikaitkan dengan sesuatu akaun WhatsApp.
“Pengguna yang terpedaya menyerahkan kod pengesahan tersebut boleh menyebabkan akaun WhatsApp mereka diambil alih oleh scammer,”katanya dalam kenyataan di laman web rasmi MCMC hari ini.
MCMC berkata, pihaknya mengesan beberapa helah dan modus operandi yang digunakan scammer antaranya menyamar sebagai rakan atau ahli keluarga dengan menggunakan akaun WhatsApp (milik rakan atau ahli keluarga) yang telah berjaya diambil alih sebelum ini dan seterusnya merayu bantuan pengguna untuk menyerahkan kod pengesahan 6-digit yang diterima.
“Scammer juga menyamar sebagai kakitangan WhatsApp dan meminta pengguna menyerahkan kod pengesahan 6-digit yang diterima.
“Seterusnya, scammer sengaja membuat beberapa cubaan pengesahan yang gagal hingga menyebabkan sistem WhatsApp akan seterusnya membuat panggilan automatik ke nombor pengguna untuk memaklumkan kod pengesahan,” katanya.
MCMC berkata, scammer kemudiannya melakukan penyamaran dan berhubung dengan pengguna untuk mendapatkan kod berkenaan atau jika pengguna tidak menjawab panggilan automatik daripada WhatsApp dan ianya masuk ke peti mesej suara pengguna, scammer akan cuba meneka (melalui proses cubaan rambang) atau meminta kata laluan atau PIN peti mesej suara pengguna, untuk mengakses rakaman tersebut.
Sehubungan itu, pengguna diingatkan supaya berwaspada terhadap permintaan kod pengesahan 6-digit WhatsApp daripada rakan atau ahli keluarga,mesej atau panggilan orang yang tidak dikenali atau pihak yang mengaku sebagai kakitangan WhatsApp serta pihak lain termasuklah pihak berkuasa.
MCMC berkata pengguna yang menjadi mangsa pengambilalihan akaun WhatsApp disaran untuk mengikuti langkah seperti di pautan https://faq.whatsapp.com/general/account-and- profile/stolenaccounts/ atau https://faq.whatsapp.com/general/received-verification-code-withoutrequesting-it/ untuk mengambil alih semula akaun WhatsApp yang dirampas.
“Bagi melindungi diri daripada sebarang kemungkinan perbuatan jenayah, pengguna yang menjadi mangsa boleh membuat aduan di balai polis berhampiran atau kepada MCMC menerusi portal Aduan MCMC di laman sesawang https://aduan.skmm.gov.my,” katanya.
Aduan juga boleh disalurkan melalui E-mel: [email protected] atau WhatsApp: 016 – 220 6262.