‘Saya reda terima kepulangan suami dalam apa juga keadaan’.
KUALA LINGGI 20 Jan. – Selepas tujuh hari tanpa sebarang berita, suri rumah, Rosdiana Mongkin, 41, pasrah menunggu kepulangan suaminya yang dilaporkan hilang ketika menjaring ikan di laut sejak Rabu lalu.
“Kami reda menerima kepulangan suami dalam keadaan selamat atau sebaliknya kerana yang penting kami dapat menatap wajahnya,” katanya.
Namun jauh di lubuk hatinya amat mengharapkan Allah memelihara keselamatan suaminya, Irwan Radjab, 47, dan rakannya, Ahmad Norizan Mohamad, 37, daripada sebarang malapetaka di laut.
“Walaupun usaha mencari dan menyelamat (SAR) oleh pasukan keselamatan sudah dihentikan, harapan saya agar mereka selamat, tetap kukuh dalam hati dan fikiran,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Telok Gong, di sini hari ini.
Ibu kepada tiga anak berusia 13 hingga 20 tahun itu menerima kunjungan jiran tetangga dan penduduk kampung yang memberi kata semangat agar terus tabah menghadapi ujian Allah.
Anak sulungnya, Amirul, berkata bapanya dan Ahmad Norizan dipercayai membawa jaring pari dan empat unit bubu ketika turun ke laut dari Jeti Nelayan Padang Temu, dekat Bandaraya Melaka pada Rabu lalu.
Katanya, mereka menggunakan dua enjin motor sangkut yang setiap satu 90 kuasa kuda berdasarkan bot besar milik Ahmad Norizan dan mencuba nasib dengan membuang atau melabuhkan empat unit bubu yang baharu disiapkan.
“Bapa pernah menyatakan satu daripada enjin itu menghadapi masalah tetapi sudah dibaiki.
“Jadi saya yakin jika satu enjin rosak, satu lagi masih boleh digunakan untuk membolehkan mereka naik ke darat walaupun bukan daratan di negeri ini,” katanya.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad dilaporkan berkata, operasi SAR nelayan terbabit dari jeti itu yang dilancarkan sejak Sabtu lalu dihentikan jam 6 petang semalam berikutan ketiadaan petunjuk baharu.
Walaupun operasi SAR dihentikan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin yang menjalankan rondaan Op Benteng sedia menyalurkan maklumat jika ada petunjuk baharu.