Bertuahnya ‘frontliner’
AYER KEROH 20 Jan. – Seramai 928 anggota yang bertugas dalam sekatan jalan raya (SJR) dan pasukan pemantau di negeri ini dianggap cukup bertuah selepas menerima sumbangan makanan oleh UMNO Melaka, hari ini.
Simbolik sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di SJR Plaza Tol Ayer Keroh, hari ini.
Jelasnya, sumbangan itu diberikan sebagai tanda penghargaan kepada petugas-petugas yang telah berpenat lelah mengawal sempadan negeri ini dalam usaha mengurangkan jangkitan kes COVID-19 di Melaka.
“Hari ini kita telah turun mengedarkan bantuan kit makanan dan minuman kepada petugas barisan hadapan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 ini.
“Diharap keprihatinan ini dapat memberi sedikit dorongan dan penyuntik semangat kepada petugas-petugas selain meringankan sedikit keperitan yang mereka hadapi sepanjang menjalankan tugas dalam tempoh yang panjang ini.
“InsyaAllah sumbangan ini akan diberikan kepada semua petugas yang ada di seluruh negeri agar mereka dapat bekerja lebih kuat dalam usaha mengurangkan lengkuk COVID-19 yang melanda negara,” katanya ketika ditemui pemberita dalam majlis tersebut.
Hadir sama Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali.
Abdul Majid turut merakamkan penghargaan di atas sumbangan yang diberikan kepada petugas barisan hadapan itu dan menyifatkannya sebagai satu penghormatan buat mereka yang bertugas 24 jam siang dan malam.
“Kita telah bekerja dalam tempoh yang panjang, tempoh yang cukup ‘stress’. Jadi, saya percaya keprihatinan oleh segenap lapisan masyarakat dapat memberikan lebih motivasi kepada petugas barisan hadapan sepanjang menjalankan tugas ini,” katanya.