Isu kartel daging beku: Tiga ditahan

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

Ayer Keroh: Isu kegiatan kartel daging beku tidak halal untuk pasaran tempatan kembali ‘hangat’ dengan penahanan tiga pegawai Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) di Johor Bahru, Johor, semalam.

Tiga pegawai berusia 40, 44, dan 55 tahun itu ditahan selepas hadir membantu siasatan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Johor dan direman lima hari sehingga 23 Januari ini siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Perintah reman ke atas mereka dikeluarkan Penolong Pendaftar, Nur Fathiah Mohd Fedzir di Mahkamah Majistret Johor Bahru dipohon SPRM Johor semalam.

Memetik laporan portal berita Harian Metro hari ini, mereka disyaki menerima sogokan sekurang-kurangnya RM200,000 bagi melepaskan kontena muatan daging kerbau sejuk beku import daripada pembekal tidak diiktiraf sejak 2017.

“Pegawai Maqis terbabit dikatakan sudah melepaskan hampir 100 kontena dengan muatan daging sejuk beku itu daripada pengeksport dari India yang tidak diiktiraf Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV),” kata Harian Metro memetik sumber.

Ketiga-tiga mereka, iaitu seorang Ketua Pintu Masuk Maqis dan dua Penolong Pegawai Penguatkuasa di stesen pintu masuk dagangan laut dikatakan sudah dipindahkan ke daerah lain sebelum ditahan SPRM.

Menurut laman web rasmi JPV, hanya 11 pengeksport daging beku kerbau di India mendapat pengiktirafan bagi diimport ke Malaysia, termasuk status halal dan paling terakhir dilakukan pada 6 November 2019.

Senarai terkini JPV pula menunjukkan, daripada 11 pembekal terbabit, syarikat Federal Agro Industries Private Limited digantung pengiktirafan berkuat kuasa serta-merta pada 16 September lalu.

Dalam perkembangan sama, SPRM dalam satu kenyataan pada Isnin lalu menjelaskan pihaknya sudah menahan lapan suspek sejak 4 Januari lalu bagi membantu siasatan berhubung isu kartel daging sejuk beku.

Selain itu 27 saksi telah dipanggil dalam siasatan kes itu membabitkan pekerja syarikat, ejen pengimport serta pegawai kerajaan.

Siasatan dibuat mengikut Akta SPRM 2009 yang menjurus kepada kesalahan menerima rasuah, mengemukakan tuntutan palsu serta kesalahan berkaitan pemalsuan dokumen.

Views:

743
Kongsi :
Previous post Harga sayur di Melaka naik sehingga 70 peratus
Next post Kematian Dr Ali bukan akibat kelesuan bekerja atau COVID-19
Ubah saiz-+=