13,964 calon peperiksaan di Melaka kembali ke sekolah hari ini

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

AYER KEROH 20 Jan. – Seramai 13,964 calon yang akan menduduki peperiksaan utama 2020 di negeri ini pada Februari dan Mac depan, memulakan sesi persekolahan hari ini.

Pengarah Pendidikan Melaka Dr Mohd Azam Ahmad berkata, daripada jumlah itu 11,436 adalah pelajar Sijil pelajaran Malaysia (SPM) dan 1,225 pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020 di 77 sekolah di Melaka.

“Selain itu, seramai 103 pelajar akan menduduki Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2020, 305 Sijil Vokasional Malaysia (SVM) 2020, 134 Ujian Pencapaian Bahasa Antarabangsa (UPBA) 2020, 303 Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) 2020 dan bakinya 458 melibatkan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) 2020,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa di Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknikal & Vokasional Sains dan Inovasi) negeri, Datuk Noor Effandi Ahmad meminta ibu bapa tidak bimbang dengan keselamatan anak-anak yang perlu mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP)
secara bersemuka memandangkan sekolah adalah tempat paling selamat berbanding tempat lain.

ANTARA pelajar yang memulakan sesi persekolahan hari ini, membabitkan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan pada Februari dan Mac depan. Foto kredit FB Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin

Jelasnya, pihak sekolah tidak akan sesekali mengabaikan aspek keselamatan memandangkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sudah merangka prosedur operasi standard (SOP) yang khusus bagi membendung penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan pelajar.

“Tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana sekolah adalah institusi yang paling mematuhi SOP. Di sekolah guru-guru sendiri akan memantau pergerakan anak-anak daripada masuk ke sekolah, waktu rehat hinggalah waktu balik.

“Jadi tiada sebab untuk ibu bapa berasa curiga atau khuatir tentang anak-anak di sekolah memandangkan sekolah adalah kawasan yang lebih mematuhi SOP berbanding di pasar raya mahupun tempat tumpuan dan pelancongan,” katanya.

Untuk rekod, pada sesi persekolahan bermula hari ini hanya pelajar yang bakal menduduki peperiksaan utama termasuk peperiksaan antarabangsa yang setara sahaja dibenarkan ke sekolah.

Bagi semua murid sekolah rendah dan pelajar tingkatan 1 hingga tingkatan 5 di sekolah menengah pula perlu mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mengikut kesesuaian guru serta murid mulai tarikh sama.

Views:

545
Kongsi :
Previous post Peniaga nyaris rentung dalam kebakaran kedai makan
Next post Harga sayur di Melaka naik sehingga 70 peratus
Ubah saiz-+=