Kan dah kena cekup!

Masa Membaca:49 Saat

SHAH ALAM, 20 Jan. – Polis menahan seorang lelaki selepas rakaman tindakannya meragut beg tangan seorang wanita di Eco Sanctuari, Telok Panglima Garang, dekat sini, tular di media sosial, kurang 24 jam selepas kejadian itu dilaporkan pagi semalam.

Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata warga tempatan berumur 25 tahun itu ditahan di sekitar Shah Alam kira-kira jam 4 petang semalam hasil maklumat awam dan risikan polis.

Beliau berkata terdahulu wanita berumur 51 tahun itu melaporkan sendiri kejadian sekitar jam 8.20 pagi itu di Balai Polis Telok Panglima Garang.

“Polis turut merampas pelbagai barangan dipercayai milik mangsa ragut dalam kes ini semasa tangkapan suspek dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Terdahulu satu rakaman video berdurasi 1 minit 37 saat tular di media sosial, memaparkan seorang wanita diragut seorang lelaki yang menaiki motosikal dengan menggunakan senjata.

Menerusi rakaman video berkenaan, wanita yang baru keluar dari keretanya dilihat didatangi suspek yang kemudian bertindak mengejar wanita itu ketika beliau cuba menyelamatkan diri serta menjerit meminta tolong. – BERNAMA

Views:

651
Kongsi :
Previous post Aziz Ujang meninggal dunia
Next post Terlalu penat, doktor meninggal dunia ketika ‘perangi’ COVID-19
Ubah saiz-+=