Tujuh kru, tiga kontraktor ‘cemas’ kapal karam
KUALA TERENGGANU, 18 Jan – Sebuah kapal pelantar minyak M.V Setia Kilas dilaporkan tenggelam di muara Kuala Terengganu pukul 11 pagi tadi setelah hanyut dan merempuh pemecah ombak.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata sebelum kejadian, kapal berkenaan sedang menjalani ujian jentera, namun mengalami masalah apabila enjin gagal berfungsi.
“Maritim Negeri Terengganu menerima laporan daripada Maritime Sub Rescue Centre (MRSC) Kuantan berkaitan insiden kecemasan sebuah kapal pelantar yang mengalami kerosakan jentera utama telah hanyut ke pemecah ombak (break water) dan hampir karam di muara Kuala Terengganu.
“Kapal tersebut menjalani ujian jentera di laut dengan dikendalikan tujuh kru serta tiga kontraktor. Setelah selesai ujian jentera, kapal tersebut mengalami kerosakan jentera semasa dalam perjalanan masuk ke muara dan dibawa ombak rapat ke pemecah ombak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, bot Penggalang 17 dari Martim Negeri Terengganu telah ditugaskan ke lokasi kejadian dan mendapati kesemua kru dan penumpang telah selamat dengan terjun ke atas daratan terhampir untuk menyelamatkan diri.
Muhammad Suffi berkata kapal tersebut tidak dapat diselamatkan dan telah karam di lokasi kejadian.
Sementara itu, Jabatan Laut Malaysia Wilayah Timur menerusi satu kenyataan memaklumkan pihaknya telah menubuhkan satu pasukan untuk melakukan siasatan berhubung kejadian tersebut.
“Jabatan Alam Sekitar juga telah dimaklumkan bagi menangani isu sekiranya berlaku tumpahan minyak di kawasan tersebut. Pemilik kapal juga telah dihubungi untuk mengambil tindakan bagi proses pengalihan kapal tersebut.
“Selain itu, pekeliling pelabuhan juga akan dikeluarkan untuk memaklumkan kepada agensi perkapalan dan kapal-kapal supaya lebih berhati-hati untuk melalui kawasan sama,” demikian kenyataan itu.- BERNAMA