Pakej bantuan PERMAI tangani kesan pandemik COVID-19 kepada rakyat dan ekonomi.
KUALA LUMPUR, 18 Jan. – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bagi mengurangkan beban dihadapi rakyat dan ketahanan ekonomi ketika negara sedang berdepan penularan pandemik COVID-19.
Muhyiddin berkata pakej bantuan PERMAI yang memperuntukkan sejumlah RM15 bilion, antara lain mempunyai 22 inisiatif bermatlamat untuk memerangi wabak COVID-19, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.
“Kerajaan telah berkali-kali membuktikan bahawa kita tidak akan berkompromi dalam memastikan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi,” katanya dalam pengumuman khas pakej bantuan PERMAI yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen serta platform media sosial.
Muhyiddin berkata di bawah matlamat memerangi wabak COVID-19, kerajaan telah menyediakan dana tambahan sebanyak RM1 bilion merangkumi hampir RM800 juta kepada Kementerian Kesihatan dan selebihnya kepada Majlis Keselamatan Negara serta agensi lain.
Perdana menteri berkata penyediaan peruntukan itu menumpukan kepada bekalan, antaranya tambahan reagen dan kit saringan serta peralatan perlindungan diri (PPE) terutamanya kepada petugas kesihatan.
Di bawah matlamat ini juga, beliau berkata perancangan program vaksinasi negara adalah ‘on-track’ dengan kerajaan telah menandatangani tiga perjanjian dengan syarikat pengeluar vaksin dan bekalan vaksin pertama dijangka diterima negara pada penghujung Februari.
“Melalui Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 yang telah ditubuhkan, kerajaan akan memastikan ketelusan perolehan vaksin dan Program Imunisasi Kebangsaan akan diberi perhatian utama melibatkan dana sebanyak RM3 bilion untuk tujuan ini,” katanya.
Muhyiddin menegaskan garis panduan dan kaedah penentuan bagi individu yang perlu menerima vaksin akan dihebahkan dan program vaksinasi tersebut dijangka berjalan secara berperingkat sehinggalah tempoh keseluruhannya selama 12 bulan.
“Ini bermakna, kumpulan pertama yang dijangka menerima vaksin adalah pada awal Mac dan dapat meliputi lebih 80 peratus atau hampir 27 juta penduduk Malaysia menjelang suku pertama 2022,” kata perdana menteri.
Muhyiddin berkata bagi inisiatif Mengukuhkan Sistem Kesihatan Negara, kerajaan akan menambah lebih 3,500 anggota kesihatan yang akan mula bertugas pada hujung bulan ini, dengan peruntukan tambahan sebanyak RM150 juta.
“Ini terdiri daripada penolong pegawai perubatan, paramedik, juruteknologi makmal dan jururawat.
“Saya memberi jaminan sekiranya terdapat keperluan akan datang dan bagi menggerakkan program imunisasi kelak, kerajaan bersedia menambah pengambilan baharu,” katanya.
Perdana menteri berkata seperti diumumkan dalam Belanjawan 2021, pemberian ‘one-off’ atau sekali sebanyak RM500 kepada semua petugas barisan hadapan kesihatan dan RM300 kepada petugas barisan hadapan yang lain akan mula dibayar dalam suku tahun pertama tahun ini.
Sementara bayaran bulanan sedia ada yang diterima sebanyak RM600 oleh petugas barisan hadapan kesihatan dan RM200 oleh petugas barisan hadapan yang lain akan tetap diteruskan sehingga wabak COVID-19 berakhir, kata Muhyiddin.
Selain itu, Muhyiddin berkata hospital swasta telah bersetuju untuk menerima dan merawat pesakit COVID-19 dan bukan COVID-19 bagi meringankan tekanan kepada sistem kesihatan awam dan kerajaan akan memperuntukkan RM100 juta bagi tujuan tersebut.
Beliau berkata bagi inisiatif memperkukuh saringan kesihatan pekerja, kos saringan COVID-19 akan ditanggung sepenuhnya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di zon-zon merah, selain pelepasan cukai bagi bayaran ujian pengesanan COVID-19 untuk menyokong lebih banyak individu membuat ujian saringan dan pengesanan virus itu secara persendirian.
Bagi aspek bayaran Bantuan Prihatin Rakyat, Muhyiddin berkata bayaran fasa terakhir Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 akan dipercepatkan mulai 21 Jan melibatkan 11.1 juta penerima dengan peruntukan sebanyak RM2.38 bilion.
Sementara di bawah inisiatif memperkukuh program kebajikan, perdana menteri berkata kerajaan telah meningkatkan kadar bantuan bulanan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkuat kuasa bulan ini, manakala Program Bakul Makanan akan segera dilaksanakan selain potongan cukai kepada penyumbang bantuan kebajikan.
Dalam perutusan kira-kira 40 minit itu, Muhyiddin turut menggariskan matlamat ketiga berkaitan menyokong kelangsungan perniagaan yang antara lain menambah baik Program Subsidi Upah 3.0 di bawah Perkeso dan meneruskan Geran Khas Prihatin (GKP) Tambahan kepada peniaga dan penjaja di Sabah.
“Kerajaan akan memperluaskan bantuan GKP Tambahan ini kepada 500,000 PKS di tujuh negeri PKP dengan bayaran RM1,000, manakala 300,000 PKS di negeri lain akan menerima RM500. Perluasan inisiatif itu melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM650 juta.
“Namun, sekiranya terdapat negeri yang berubah menjadi zon merah dan diisytiharkan PKP, kerajaan sedia membantu dengan menyalurkan bantuan tambahan kepada PKS di negeri tersebut dengan serta merta,” katanya.
Pakej bantuan PERMAI ini merupakan inisiatif kelima dilaksanakan kerajaan dalam membantu rakyat sejak PKP pertama kali dikuatkuasakan pada Mac tahun lepas.
Kerajaan sebelum ini melaksanakan Bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) melibatkan peruntukan RM250 bilion pada Mac 2020 dan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN Tambahan) sebanyak RM10 bilion pada April 2020.
Selain itu, turut diumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) melibatkan perbelanjaan sebanyak RM35 bilion pada Jun lepas, selain Pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Prihatin (KITA Prihatin) dengan peruntukan RM10 bilion pada September lalu.- BERNAMA