Persiapan Dewan Bistari sebagai PKRC terbaharu giat dijalankan

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER MOLEK 18 Jan. – Dewan Bistari Ayer Keroh bakal menjadi Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) terbaharu dibuka di negeri ini daripada empat lokasi dicadangkan.

Tiga lokasi lain yang dicadang adalah Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Dewan Tun Ali di Bukit Katil dan Dewan Citra Kasih di Durian Tunggal.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah Negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, buat masa ini persiapan sedang giat dijalankan dengan dewan berkenaan sedang disusun atur mengikut kesesuaian dan spesifikasi ditetapkan.

Ujarnya, PKRC itu boleh memuatkan 200 ke 250 pesakit berisiko rendah pada satu-satu masa bagi menampung jumlah pesakit di Hospital Melaka yang kini hampir 90 peratus penuh.

“Buat masa ini kita melihatnya adanya keperluan untuk mewujudkan PKRC memandangkan kes harian di negeri ini semakin menaik berbanding pesakit yang sembuh. Jadi, kita risau berlakunya peningkatan lagi dan sebab itulah kita bersedia.

“Sekiranya berlaku lagi peningkatan, kita juga akan menambah jumlah PKRC yang ada iaitu di Dewan Tun Ali, Bukit Katil dan dewan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) sebagai perancangan seterusnya,” katanya.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata sehingga kini masih terdapat sembilan kluster aktif di Melaka iaitu Kluster Pantai Peringgit, Kluster Dialisis Malim, Kluster Teknologi Kesidang, Kluster Rambai, Kluster Telok Mas, Kluster Anak Air, Kluster Tembok Kemus serta Kluster Jalan Harapan dan Kluster Tanjung Megah yang melibatkan banduan.

Ujarnya, daripada kluster itu 174 sedang dirawat di Hospital Melaka, 28 di PKRC Asrama Kolej Jururawat, 20 di Penjara Sungai Udang, 45 di Pusat Koreksional Jasin dan 217 pesakit dihantar ke PKRC Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang, Selangor.

Views:

2681
Kongsi :
Previous post Bekalan minyak masak stabil
Next post Pakej bantuan PERMAI tangani kesan pandemik COVID-19 kepada rakyat dan ekonomi.
Ubah saiz-+=