‘Kalau saya tak ada, awak macam mana?’
AYER KEROH 19 Jan – “Kalau saya tak ada, awak macam mana?.”
Itu ungkapan terakhir seorang nelayan, Ahmad Norizan kepada isterinya, Faradila Sharudin, 37, sebelum dia dilaporkan hilang ketika menjaring ikan bersama rakannya, Irwan Radjab, 47, di perairan Selat Melaka, berhampiran Pulau Undan, sejak Rabu lalu.
Menurut Faradila dia langsung tidak mengambil peduli kata-kata suaminya kerana menganggap ia hanya gurauan.
“Memang dia selalu cakap main-main, jadi saya tidak begitu ambil kisah apa dikatakannya.
“Itulah kali terakhir saya bercakap dengannya di rumah sebelum dia turun ke laut dan tidak pulang hingga hari ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika dihubungi.
Faradila berkata, suaminya ada memaklumkan akan pergi menangkap ikan dengan rakan sebelum keluar dari rumah kira-kira jam 7 pagi.
“Selalunya dia keluar menjaring sehari atau dua hari, namun kali ini agak lama (lebih empat hari).
“Saya cuba telefon keesokkan harinya apabila suami tidak pulang, tapi tidak berjawab. Malah mesej Whatsapp yang saya hantar sebelum itu juga sehingga kini tidak masuk, mungkin tiada liputan.
“Dah berkali-kali saya cuba telefon tapi tidak dapat menyebabkan saya bimbang keselamatannya,” katanya yang berharap suaminya segera ditemui.
Susulan itu, Faradila membuat laporan polis di Balai Polis Kandang Sabtu lalu bagi membolehkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan.
Katanya, dia juga pergi ke Jeti Nelayan Sungai Suyong di Padang Temu untuk mencari suaminya, namun hanya menemui kereta jenis Kia Spectra berwarna hitam milik rakannya.
“Suami beritahu dia tumpang Wan (Irwan), jadi saya cari dia di jeti dan hanya menemui kereta Wan diletakkan di tempat parkir bot,” katanya.
Sementara itu, isteri Irwan, Rosdiana Mongkin, 42, ketika dihubungi berkata dia tidak dapat memberi sebarang ulasan selain kepenatan kerana tidak dapat tidur memikirkan keselamatan suaminya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah JBPM Melaka, Penguasa Kanan Bomba I, R. Saiful Iswandi R. Hassan berkata, operasi SAR diteruskan pada hari kedua hari ini dengan kekuatan 50 pegawai dan anggota bomba.
Katanya, pihak dibantu pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Jabatan Laut Malaysia (JLM) serta anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan Unit Udara JBPM berpengkalan di Subang, Selangor.
“Menerusi tinjauan udara selama 25 minit, tiada sebarang petunjuk dijumpai dan kita memperluaskan radius pencarian tiga ke empat batu nautika dari kawasan Pulau Besar dan Pulau Undan.
“Berdasarkan keadaan cuaca, angin agak kuat, lebih kurang 35 knot dan ia sedikit mengganggu operasi pencarian,” katanya.
Berita lanjut menyusul.