Ingkar PKP, dua individu gelang pink antara lima dikompaun di Putrajaya
PUTRAJAYA, 17 Jan. – Dua lelaki antara lima individu pemakai gelang merah jambu dikompaun kerana ingkar prosedur standard operasi (SOP), sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, pada 13 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali berkata, individu pemakai gelang pink itu didapati ingkar arahan Pejabat Kesihatan Daerah untuk menjalani kuarantin di rumah dan dikesan masing-masing berada di kawasan perumahan di Presint Diplomatik dan pusat komersial Ayer 8.
“Selain itu, satu kompaun dikeluarkan semalam melibatkan penganjur program pengedaran ayam beku percuma secara pandu lalu kerana menganjurkan program yang mengundang kehadiran orang ramai,” katanya kepada Bernama selepas meninjau operasi pematuhan SOP PKP di sekitar Putrajaya, di sini hari ini.
Jumaat lalu, tular di media sosial mengenai gambar kesesakan di kawasan Presint 9 apabila orang ramai beratur untuk mendapatkan ayam beku percuma yang dianjurkan oleh Pemuda UMNO Putrajaya.
Katanya, hasil siasatan mendapati penganjur tidak mendapat kelulusan polis untuk menganjurkan program selain penjarakan fizikal sukar dilaksanakan serta menyebabkan berlaku kesesakan jalan raya.
Selain itu, Mohd Fadzil berkata, satu kompaun dikeluarkan terhadap pemandu kerana membawa melebihi kapasiti dan satu lagi kompaun dikenakan terhadap pekerja pasar raya borong kerana gagal mendaftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera.
Mohd Fadzil berkata setakat hari ini, polis Putrajaya melakukan pemeriksaan terhadap 2,541 individu, 2,230 kenderaan dan 833 premis.
Justeru, beliau menasihati komuniti Putrajaya agar menangguh aktiviti yang melibatkan pengumpulan orang ramai dan sentiasa mematuhi SOP PKP serta tidak mengambil mudah dengan situasi penularan COVID-19 yang dilihat semakin meningkat.
“Orang ramai kena serius, sekiranya tiada kawalan, penularan akan terus merebak. Kita harap semua pihak dapat terus patuh SOP sehingga penularan terkawal,” katanya.- BERNAMA