Sorting by

×

Dua nelayan dikhuatiri lemas berhampiran Pulau Undan

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

TELOK MAS 17 Jan. – Dua nelayan dari Jeti Nelayan Padang Temu, dekat sini, dikhuatiri lemas selepas keluar menjaring ikan di perairan Selat Melaka sekitar Pulau Undan sejak Rabu lalu.

Penolong Pengarah Operasi Negeri, Penguasa Kanan Bomba ll Bomba dan Penyelamat, Muhammad Izwan Arief Mat Nor berkata, setakat ini operasi mencari dan menyelamat (SAR) nelayan terbabit giat dijalankan di lokasi terakhir bot mereka dilihat iaitu berhampiran Pulau Undan, dekat sini.

Katanya, pihaknya menerima aduan pada jam 11.26 pagi ini dan menggerakkan operasi mengesan nelayan terbabit yang dikenali sebagai Ahmad Norizan,38, dan Wan, berusia lingkungan 30-an.

Anggota bomba dan APM terbabit operasi SAR mengesan dua nelayan yang hilang.

“Satu bilik gerakan dibuka di lokasi membabitkan 36 anggota termasuk polis Jabatan Laut Malaysia, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dan enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Melaka Tengah.

“Maklumat yang diterima, kedua-dua nelayan itu dilihat di sekitar Pulau Undan pada Rabu lalu.

“Mereka dikhuatiri hilang apabila tidak pulang ke rumah sebelum keluarga membuat laporan polis petang semalam,” katanya kepada pemberita di Jeti Nelayan Padang Temu, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata operasi SAR hari ini bermula sekitar 2.17 petang sebelum ditangguh pada 7.04 malam dengan radius pencarian lapan hingga 10 batu nautika dari Jeti Nelayan Padang Temu.

“Operasi pencarian akan disambung jam 6.45 pagi esok dan kita mendapatkan bantuan  Unit Udara JBPM Subang bagi pemantauan dari udara menggunakan helikopter.

“Kita menasihatkan orang ramai terutama nelayan agar berhati-hati ketika melakukan sebarang aktiviti dan sentiasa mengutamakan keselamatan,” katanya.

Views:

984
Kongsi :
Previous post COVID-19 tidak patahkan semangat usahawan tani
Next post Ingkar PKP, dua individu gelang pink antara lima dikompaun di Putrajaya
Ubah saiz-+=