Kerajaan negeri kesal pemaju Taman Seri Duyong Seksyen 1 lepas tangan

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

DUYONG 15 Jun –  Kerajaan negeri kesal dengan tindakan pemaju projek Taman Seri Duyong Seksyen 1 di sini yang gagal melunaskan janji untuk membaik pulih 70 buah rumah yang mengalami kerosakan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Seri Abdul Ghafar Atan berkata, beliau kecewa dengan tindakan pemaju yang mengambil sikap lepas tangan terhadap aduan yang dikemukakan rakyat berhubung kerosakan itu.

Katanya, pemaju yang gagal menghadirkan diri pada lawatan beliau ke taman itu hari ini merupakan satu tindakan yang tidak menghormati kerajaan negeri.

“Saya amat kecewa kerana lawatan ini bukan secara mengejut sebaliknya dirancang, yang mana saya mahu semua pengarah prinsipal ada tetapi pemaju tidak hadir,” katanya ketika ditemui pemberita di taman berkenaan.

Terdahulu beliau bersama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Zainal Abu dan Pengarah Lembaga Perumahan Melaka (LPM),  Mohd Salleh Hamidom meninjau kerosakan yang dialami pemilik rumah di taman terbabit.

SUHAILA

Sementara itu pemilik rumah, Suhaila Abu Hassan, 48 berkata dia dan keluarganya sudah dua tahun berpindah ke kawasan perumahan itu.

“Dalam tempoh dua tahun, kita sudah buat berbagai aduan kerana mengalami kebocoran pada siling, dinding retak selain bingkai tingkap bocor namun tiada pembaikan dibuat,” katanya.

NORAZLAN

Kakitangan awam, Norazlan Chekdi, 38 berkata, pihak pemaju tidak membuat apa-apa tindakan malahan memberikan pelbagai alasan setiap kali dihubungi.

“Kali terakhir ada mereka datang tahun lepas tetapi sekadar meninjau sahaja,” katanya.

Views:

1778
Kongsi :
Previous post Orang ramai ‘serbu’ UTC Melaka
Next post Agong berkenan santap di kedai roti tempayan, undang reaksi positif rakyat
Ubah saiz-+=